Sabtu, 27 Januari 2024 | 8:30am
Ezzanie berkenalan dengan Noki ketika penyanyi rap itu datang ke set penggambaran drama yang dibintaginya dengan MK. Foto NSTP Rohanis Shukri
Ezzanie berkenalan dengan Noki ketika penyanyi rap itu datang ke set penggambaran drama yang dibintaginya dengan MK. Foto NSTP Rohanis Shukri

Ezzanie jawab gosip bercinta dengan Noki

KUALA LUMPUR: Angkara klip video yang menampakkan kemesraan mereka tular, aktres meningkat naik, Ezzanie Jasny dan penyanyi rap yang juga pelakon, Noki K-Clique, dikatakan hangat dilamun cinta.

Melalui video sembilan saat yang dimuat naik Ezzanie di TikTok, dia dan Noki dilihat mengikut aksi mimik What's Up Riri yang 'trending' di platform itu, ketika mereka berada di sebuah premis buku terkenal, baru-baru ini.

Pasangan terbabit tampak mesra apabila saling bertentang mata dan berbalas senyuman, seolah-olah memberi isyarat mereka sedang berpacaran.

Enggan membiarkan spekulasi terus bertebaran, Ezzanie atau nama sebenar, Nur Ezanie Sherazade Jasny menjelaskan hubungan dengan Noki sekadar teman biasa.

Malah, pelakon drama bersiri Sayang Tak Dikenang ini mengaku masih terlalu awal untuk dia berkongsi lanjut mengenai hubungan mereka.

"Kami hanya berkawan dan masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing... Tidak lebih daripada itu.

"Lagipun perkenalan kami ini masih baharu. Kami pun tidak letak label atas perkenalan ini. Kami mula berkenalan ketika Noki datang ke set penggambaran saya, sebelum ini. Ketika itu, saya sedang berlakon dengan MK.

Ezzanie mengaku masih terlalu awal untuk dia berkongsi lanjut mengenai hubungan dengan Noki. Foto NSTP Rohanis Shukri
Ezzanie mengaku masih terlalu awal untuk dia berkongsi lanjut mengenai hubungan dengan Noki. Foto NSTP Rohanis Shukri

"Kami hanya bertegur sapa dan saling mengikuti antara satu sama lain di Instagram," katanya.

Pelakon dan model berusia 24 tahun ini turut menafikan dakwaan mereka sengaja menyembunyikan hubungan cinta daripada pengetahuan umum.

"Kami hanya keluar bersiar-siar untuk melihat pusat beli-belah yang baharu dibuka, iaitu TRX Exchange... Tiada apa yang perlu disorokkan.

"Itu pendapat masing-masing. Biarlah apa yang mereka hendak fikirkan. Walaupun ada pihak yang dikatakan patah hati, itu saya tak boleh hendak kawal," katanya ditemui pada sidang media drama Layang-Layang Perkahwinan di ibu negara, baru-baru ini.

Selain Ezzanie, drama itu dibintangi Shukri Yahaya, Keith Foo, Alya Iman, Arash Mohamad dan Datin Nina Juren.

Bagaimanapun, Ezzanie tidak menolak andai mereka ditakdir menjalinkan hubungan cinta, suatu hari nanti.

"Kita tengoklah macam mana. Saya hanya 'follow the flow'. Kalau ditakdirkan dia adalah individu yang baik untuk saya, okay sahaja.

"Kita pun tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan," katanya lagi.

Ezzanie juga enggan mengambil peduli dengan tanggapan segelintir pihak yang kurang senang melihat dia rapat dengan lelaki lain berikutan statusnya sebagai pelakon baharu.

"Saya tidak fikir pun tanggapan orang mengenai kehidupan peribadi saya. Asalkan mereka nampak hasil kerja dan tahu saya boleh berlakon, itu sudah mencukupi.

"Kalau ada rezeki untuk saya, maka adalah. Kalau disebabkan satu gambar, saham saya turun, saya tak kisah sangat," katanya.

Berita Harian X