Jumaat, 26 Januari 2024 | 1:00pm
Wanna tetap terima maklum balas positif apabila berjaya menghidupkan babak romantis walaupun tiada babak bersentuhan keterlaluan. - NSTP/Genes Gulitah
Wanna tetap terima maklum balas positif apabila berjaya menghidupkan babak romantis walaupun tiada babak bersentuhan keterlaluan. - NSTP/Genes Gulitah

Tetap romantis walau tak berpegangan

KUALA LUMPUR: Pada saat nama mula melonjak popular, pelakon Wanna Ali memilih langkah selamat agar tidak timbul kontroversi menggugat reputasinya.

Justeru, Wanna atau nama sebenarnya, Nor Syazwana Mohd Ali sentiasa menghormati dan menjaga batasan apabila menjayakan sesebuah naskhah dengan pelakon lelaki berstatus suami orang.

Perkara itu dibuktikan Wanna menerusi lakonannya bersama Alif Satar dalam drama Bukan Sekadar Lafaz yang disiarkan di slot Akasia, TV3, tahun lalu.

Aktres berusia 27 tahun itu tetap menerima maklum balas positif apabila berjaya menghidupkan babak romantis walaupun tiada babak bersentuhan keterlaluan.

"Kami pasti berlapik kalau ada babak bersentuhan. Saya tidak minta Alif pegang tangan saya kerana sebagai pelakon, saya perlu menghormati statusnya sebagai suami orang.

"Saya tahu apabila berlakon dengan Alif tak boleh ada babak bersentuhan, jadi saya sangat menghormatinya, isteri dan prinsipnya.

"Lagipun, kalau seseorang sudah ada pasangan, kita memang tidak digalakkan melakukan babak bersentuhan.

"Bagaimanapun, saya bersyukur penonton masih boleh merasai kemesraan yang dibawakan pada setiap episod," katanya kepada BH Online.

Wanna sentiasa menghormati dan menjaga batasan apabila menjayakan sesebuah naskhah dengan pelakon lelaki berstatus suami orang. - NSTP/Genes Gulitah
Wanna sentiasa menghormati dan menjaga batasan apabila menjayakan sesebuah naskhah dengan pelakon lelaki berstatus suami orang. - NSTP/Genes Gulitah

Biarpun begitu, Wanna tetap bersyukur apabila drama Bukan Sekadar Lafaz dapat sambutan positif selepas selesai 20 episod ditayang.

"Alhamdulillah, drama ini diterima baik oleh semua lapisan penonton. Cuma mungkin waktu tayangannya kurang sesuai kerana kita semua tengah berduka dengan nasib menimpa rakyat Palestin.

"Tapi, saya perlu berterima kasih kepada penonton kerana terus setia menyokong dan berikan maklum balas positif mengenai drama ini.

"Malah, saya terima banyak mesej peribadi pengikut yang berdepan penyakit Sindrom Ovarium Polisistik (PCOS) seperti dalam watak yang saya jayakan.

"Sekurang-kurangnya drama ini memberi kesedaran kepada penonton mengenai penyakit ini," katanya.

Terdahulu, Wanna pernah memenangi kategori Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 bersama PU Riz.

Selain berlakon, Wanna yang juga anak kepada penerbit filem, Datuk Ayu Puteh pernah bergelar model, penyanyi dan pengacara.

Berita Harian X