Jumaat, 26 Januari 2024 | 12:50pm
Difahamkan, hingga tiket konsert Siti di Singapura habis terjual, kira-kira 8,000 pembeli masih menunggu giliran. Foto IG Sufi Rashid
Difahamkan, hingga tiket konsert Siti di Singapura habis terjual, kira-kira 8,000 pembeli masih menunggu giliran. Foto IG Sufi Rashid

Tiket konsert Siti di Singapura 'licin' dua jam

KUALA KUMPUR: Tidak sampai dua jam, tiket Konsert Fenomena Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore di The Star Theatre di kota kosmopolitan itu pada 29 Jun depan, habis disambar peminat.

Malah, sistem jualan tiket dilapor sesak apabila lebih 4,000 pengguna menunggu atas talian sebelum jualan dibuka, semalam. Difahamkan, hingga tiket habis terjual, kira-kira 8,000 pembeli masih menunggu giliran.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SAH Entertainment, Sufi Rashid tidak menduga konsert yang dianjurkan pihaknya mendapat sambutan hangat.

"Kami tidak jangka tiket habis dalam masa singkat. Ketika jualan dibuka, sudah ada 4,000 orang menunggu atas talian.

"Apabila tiket kehabisan, ada 8,000 pembeli lagi menunggu sehingga sistem komputer jadi sesak. Kami sangat terharu dengan kesungguhan kira-kira 5,000 sahabat dan ahli Sitizoners yang sanggup 'beratur' mendapatkan tiket.

"Kami juga mengucapkan penghargaan kepada Siti dan pasukannya atas kepercayaan diberi untuk kami anjurkan konsert ini. Kami berjanji akan menggalas tanggungjawab ini dengan amanah dan ikhlas," katanya.

Sufi berkata, pihaknya akan memastikan Konsert Fenomena Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Singapore akan menjadi memori indah buat peminatnya sesuai dengan nama acara.

Sementara itu, Siti dalam catatan ringkas di Instagaram (IG) meluahkan kesyukuran atas kejayaan penjualan tiket konsertnya.

"Alhamdulillah, tiket konsert di Singapura sudah habis terjual. Kita jumpa di konsert itu nanti," katanya.

Disember lalu, Siti memecah rekod Ratu Rock, Ella yang menjual tiket Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota 2.0 dalam tempoh 24 jam, apabila tiket Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil, bulan depan, 'licin' dalam tempoh dua jam.

Kali terakhir Siti mementaskan konsert solo di Singapura adalah pada 2019.

Berita Harian X