Khamis, 25 Januari 2024 | 8:30am
Dari kiri, Haziq, Yusni, Ahmad Muriz dan Asmidar pada sidang media konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal anjuran MPO, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Dari kiri, Haziq, Yusni, Ahmad Muriz dan Asmidar pada sidang media konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal anjuran MPO, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Simfoni orkestra muzik keroncong, ghazal

KUALA LUMPUR: Selepas lebih 10 tahun, Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) kembali mempersembahkan konsert bertemakan tradisional iaitu Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada 2 Mac depan.

Konsert yang dipimpin konduktor MPO, Ahmad Muriz Che Rose ini akan menyaksikan rangkaian lagu tradisional dipersembahkan dengan iringan 65 pemuzik orkestra dan tujuh pemuzik tradisional, sekali gus mampu menghadiahkan sisi muzik berbeza kepada peminat tanah air.

Bukan itu sahaja, konsert kali ini menampilkan penyanyi legenda, Datuk Yusni Hamid yang akan berkolaborasi dengan penyanyi generasi baharu iaitu Haziq Rosebi dan Asmidar.

Kombinasi dinamik itu bakal menjadi sinergi untuk kelangsungan legasi irama keroncong dan ghazal agar terus hidup dan tidak hilang ditelan zaman.

Ahmad Muriz berkata, selepas lebih sedekad, sudah sampai masa untuk mengetengahkan kembali konsert berkonsepkan tradisional, di mana kali ini ia disuntik dengan pelbagai elemen pembaharuan.

"Kali ini, kita pelbagaikan daripada segi genre dengan menambahkan warna pada lagu keroncong dan ghazal yang akan digubah semula dalam bentuk simfoni.

"Menerusi konsert ini juga, kami akan mempersembahkan sesuatu yang boleh disifatkan sebagai magis dalam muzik apabila menggabungkan tujuh pemuzik tradisional yang akan membawa 'roh' lagu keroncong dan ghazal. Mereka juga akan diiringi 65 pemuzik daripada MPO yang pasti akan menjadikan gabungan muzik istimewa.

"Pemilihan pemuzik kali ini dibuat dengan betul, mereka adalah profesional dan sudah ada pengalaman luas," katanya pada sidang media konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal anjuran Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), di ibu negara, baru-baru ini.

Dengan kira-kira 20 lagu yang bakal dipersembahkan dalam irama tradisional, Ahmad Muriz menyifatkan pemilihan Yusni, Haziq dan Asmidar tepat.

"Saya fikir penyanyi yang bakal menjayakan konsert kali ini iaitu Yusni, Haziq dan Asmidar sangat berbakat dan mampu untuk memberi persembahan irama keroncong dan ghazal dengan baik.

"Konsert sebegini jarang sekali ada, jadi, ini peluang untuk generasi muda merasai sendiri bagaimana genre muzik ini dipersembahkan," katanya.

Dengan 20 lagu yang bakal dipersembahkan dalam irama tradisional, Ahmad Muriz menyifatkan pemilihan Yusni, Haziq dan Asmidar tepat. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Dengan 20 lagu yang bakal dipersembahkan dalam irama tradisional, Ahmad Muriz menyifatkan pemilihan Yusni, Haziq dan Asmidar tepat. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kali terakhir MPO mempersembahkan konsert bertemakan tradisional adalah pada 2012 menerusi konsert Keroncong Merdeka.

Yusni yang sudah menghasilkan 11 album berkata, sebagai penyanyi, peluang membuat persembahan di DFP boleh dikatakan sebagai momen yang sangat mengujakan.

"Peluang itu melengkapkan karier sebagai seorang penyanyi walaupun perlu bekerja keras. Rasanya ramai yang menunggu peluang untuk dijemput membuat persembahan di DFP dengan iringan MPO.

"Konsert ini mungkin disulami dengan susunan muzik baharu. Selalunya susunan muzik di DFP akan digubah dalam versi baharu. Ini suatu perkara berbeza yang saya sendiri harapkan," katanya.

Haziq yang juga bekas peserta musim keempat program realiti, Akademi Fantasia (AF4) berkata, dia akan menggunakan platform media sosial seperti TikTok dan Instagram (IG) untuk menarik lebih ramai peminat dalam kalangan generasi muda untuk hadir.

"Saya akan gunakan platform seperti TikTok untuk membuat sesi siaran langsung dan mengajak peminat datang beramai-ramai ke konsert itu nanti.

"Kalau boleh, saya harap peminat golongan muda dapat beri sokongan supaya genre keroncong dan ghazal ini terus mekar seperti apa yang kami perjuangkan," katanya.

Bagi Asmidar yang pernah merangkul gelaran naib juara program Bintang RTM pada 2001 menyifatkan konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal adalah platform terbaik untuk memartabatkan irama tradisional.

"Saya fikir konsert ini suatu langkah yang sangat baik. Sebagai contoh, kita lihat Dayang Nurfaizah yang membawa lagu-lagu Melayu menerusi album Belagu ke satu tahap lebih tinggi. Jadi, saya fikir konsert ini dapat memberi rasa lain.

"Pemilihan lagu sudah selesai. Kami fikir ia dapat menghiburkan penonton. Ada beberapa lagu yang kami bawa dalam genre keroncong dan ghazal. Konsert ini akan menjadi sesuatu yang eksklusif, ditambah lagi dengan orkestra," katanya.

Tiket untuk konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal di DFP pada 2 Mac depan sudah mula dijual bermula dengan harga RM218 sehingga RM498.

Berita Harian X