Rabu, 24 Januari 2024 | 12:35pm
Ryan Gosling berpendapat, Robbie dan Gerwig patut dicalonkan dalam pengiktirafan selepas mencurah segala-galanya sehingga filem Barbie menjadi fenomena dunia. - Foto AGENSI
Ryan Gosling berpendapat, Robbie dan Gerwig patut dicalonkan dalam pengiktirafan selepas mencurah segala-galanya sehingga filem Barbie menjadi fenomena dunia. - Foto AGENSI

Ryan Gosling terkilan teraju Barbie tak dicalonkan Oscar

LOS ANGELES: Pelakon Ryan Gosling, 43, cukup terkilan apabila bintang utama filem Barbie, Margot Robbie dan pengarahnya, Greta Gerwig tidak dicalonkan dalam Anugerah Academy Ke-96 (Oscar) 2024.

Gosling yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menyifatkan dua nama itulah menjadi nadi penting menghidupkan naskhah terbabit.

"Saya sangat berbesar hati dicalonkan sebaris artis luar biasa untuk tahun yang dibanjiri filem hebat. Dan saya tak pernah terfikir akan katakan ini, tapi saya berbesar hati dan bangga kerana ia (pencalonan) disebabkan lakonan menerusi patung plastik bernama Ken.

"Namun takkan ada Ken tanpa Barbie dan tiada filem Barbie tanpa Greta Gerwig dan Margot Robbie. Dua orang ini paling terpenting mencipta sejarah untuk filem yang diraikan seluruh dunia.

"Takkan wujud pengiktirafan buat semua dalam filem ini tanpa bakat mereka. Berani dan genius.

"Untuk mengatakan saya kecewa mereka tidak tercalon dalam kategori masing-masing adalah terlalu ringan," katanya.

Menurut Gosling, Robbie dan Gerwig patut dicalonkan dalam pengiktirafan itu selepas mencurah segala-galanya sehingga Barbie menjadi fenomena.

"Melawan arus tanpa berbekalkan apa-apa selain penjiwaan. Mereka berjaya buat kita ketawa, hancurkan hati, mengangkat budaya dan melakar sejarah.

"Hasil kerja mereka seharusnya diiktiraf sebaris dengan calon lain yang sangat layak," katanya.

Dalam pada itu, Gosling tumpang gembira rakan pelakonnya dalam Barbie, America Ferrera turut mendapat pencalonan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Barbie mendapat lapan pencalonan pada Oscar 2024 iaitu kategori Filem Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Adaptasi Lakon Layar Terbaik, dua untuk Lagu Original Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, dan Rekaan Kostum Terbaik.

Acara itu bakal berlangsung di Dolby Theatre pada Mac depan. - AGENSI

Berita Harian X