Selasa, 23 Januari 2024 | 11:54am
Alya dan Shukri mendapat kecaman ramai apabila melakonkan babak berunsur separuh lucah dalam drama arahan Eyra Rahman. - NSTP/Rohanis Shukri
Alya dan Shukri mendapat kecaman ramai apabila melakonkan babak berunsur separuh lucah dalam drama arahan Eyra Rahman. - NSTP/Rohanis Shukri

Jiwa Alya kental dikecam lakon babak 'soft porn'

KUALA LUMPUR: Pengalaman suka duka dalam hidup membuatkan hati dan jiwa pelakon cantik semakin meningkat naik, Alya Iman kental berdepan ujian termasuk kecaman netizen.

Alya atau nama sebenarnya, Nur Alya Iman Azmil, 23, berkata, dia juga sudah lali dengan apa sahaja tohmahan dilemparkan dan segala kecaman netizen tidak menjadi kudis buatnya.

"Orang memang benci saya. Jadi, saya tak kisah apa yang orang nak cakap perkara buruk pasal saya.

"Siapa yang kenal saya, dia tahu siapa saya. Walaupun baru berusia 23 tahun, saya sudah melalui banyak pengalaman menyedihkan yang membentuk menjadi gadis tabah dan kalis kecaman.

"Kehilangan ibu dan ayah, membesar dalam keluarga berantakan dan berkerja pada usia muda demi menjaga arwah ayah membuatkan hati serta jiwa kental berdepan apa juga cabaran dalam hidup.

"Justeru, bila ada kecaman netizen, ia langsung tidak memberi kesan. Saya tahu boleh hadapi semua ini dan bersedia dengan apa juga cabaran yang bakal mendatang," katanya kepada BH Online.

Pun begitu, sebagai manusia normal, Alya mengakui, ada ketika tumpah juga air mata apabila ada pihak tegar menghakimi dirinya tanpa mengetahui duduk perkara sebenar.

Alya bergandingan dengan Shukri dan Ezzanie Jasny dalam drama Layang-Layang Perkahwinan. - NSTP/Rohanis Shukri
Alya bergandingan dengan Shukri dan Ezzanie Jasny dalam drama Layang-Layang Perkahwinan. - NSTP/Rohanis Shukri

Meskipun terkilan dengan nasib diri, namun tegas Alya ia tidaklah sampai tahap mahu menyalahkan takdir.

"Pernah saya duduk menangis, tapi tak adalah sampai tahap meratap nasib dan bertanya mengapa saya perlu melalui ujian sebegitu.

"Saya anggap dugaan dilalui sebagai lumrah yang perlu dihadapi setiap insan," ungkap Alya ditemui pada majlis sidang media drama rantaian, Layang-Layang Perkahwinan, di sini, semalam.

Alya mengulas reaksi negatif penonton selepas babak didakwa berunsur separuh lucah yang dilakonkannya bersama Shukri Yahaya dalam drama arahan Eyra Rahman itu tular.

Gara-gara watak Tsuraya Lin, anak kepada aktor legenda, Allahyarham Azmil Mustapha itu turut dibenci penonton, selain dilabel sebagai 'penyondol'.

Sebelum ini, bekas model muslimah itu terpalit kontroversi apabila didakwa bertunang dengan suami orang dan isu buka hijab, tahun lalu.

Sementara itu, Alya mengakui bimbang apabila mendapat tahu perlu membawakan watak yang boleh mengundang kontroversi.

"Masa mula-mula dapat skrip, saya tanya pada Eyra betulkah saya kena bawa watak ini? Ini kerana saya sedar watak ini boleh membuatkan saya dikecam.

"Namun, sudah namanya pelakon, saya buat juga. Sebagai pelakon, saya hanya jalankan tanggungjawab mengikut skrip dan arahan.

"Saya tahu kejadian sebenar berlaku di belakang kamera. Ia tidaklah seperti yang diperkatakan (berunsur lucah). Kami jaga semuanya," jelas Alya.

Selain Alya dan Shukri, drama 28 episod itu turut dibarisi pelakon Ezzanie Jasny, Keith Foo, Arash Mohd, Datin Nina Juren, Lisdawati, Aishah Ilyas dan ramai lagi.

Berita Harian X