Selasa, 23 Januari 2024 | 8:30am
Tiada penyingkiran diumumkan pada minggu kedua konsert Bintang RTM 2024 yang berlangsung di Auditorium Sri Angkasa. - NSTP/Hazreen Mohamad
Tiada penyingkiran diumumkan pada minggu kedua konsert Bintang RTM 2024 yang berlangsung di Auditorium Sri Angkasa. - NSTP/Hazreen Mohamad

Peluang sekali lagi peserta Bintang RTM 2024 tonjol bakat

KUALA LUMPUR: Tiada penyingkiran terhadap 14 peserta dalam konsert minggu kedua Bintang RTM 2024 di Angkasapuri Seri Angkasa, Kota Media, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Keputusan dibuat secara sepakat oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Raja Mohd Sham Raja Saari selaku ketua juri, Datuk Syafinaz Selamat, LY dan juri undangan, Datin Alyah.

Mengulas mengenai keputusan itu, Syafinaz berkata, mereka masih mahu memberi peluang kepada peserta membuktikan kemampuan dan dua kali persembahan dirasakan belum cukup buat mereka mempamerkan keupayaan sebenar.

"Seperti yang kita lihat, rata-rata peserta Bintang RTM 2024 sangat baik dalam nyanyiannya. Jadi, kena beri peluang seminggu lagi untuk membuktikan kemampuan kerana kita tahu pentas televisyen ini bukan suatu yang mudah.

"Memang menyanyi di pentas pertandingan, perasaan gugup berbeza. Jadi, kita mahu beri peluang cuba seminggu lagi untuk belajar sebab mereka ada kelas nyanyian dan muzik.

"Insya-Allah, peserta akan jadi lebih mantap pada minggu hadapan dengan tunjuk ajar diberikan," katanya kepada BH Online ketika sidang media konsert minggu kedua Bintang RTM 2024.

Justeru, peserta dimaklumkan mungkin ada satu atau dua penyingkiran berlaku minggu hadapan, jadi dinasihatkan memberikan persembahan terbaik.

Pada konsert minggu kedua itu menyaksikan Dhania yang menyampaikan lagu Loyal Brave True dendangan asal oleh Christina Aguilera menduduki tangga pertama dengan jumlah markah sebanyak 76.6 peratus.

Ia disusuli dengan Joy (73.3), Feka (71) Eylia (71), Shah Rezza (70), Akmar Natasha (69.6), Hady Huv (68) Scha Nuril (67.3) dan Jon (66.3).

Harris pula pada kedudukan ke-10 dengan 65.6 peratus, diikuti Roxy Ixzy (64.3), Noy (64), Zizi Safira (61) dan terakhir, Azumi (57.6).

Menerusi konsert itu juga, Scha Nuril yang menyampaikan lagu Colors of The Wind yang dipopularkan oleh Judy Kuhn, memenangi Anugerah Pilihan Juri Jemputan.

Ketua juri, Raja Mohd Sham memohon setiap peserta Bintang RTM 2024 lebih mengutamakan lagu tempatan dalam pemilihan lagu. - NSTP/Hazreen Mohamad
Ketua juri, Raja Mohd Sham memohon setiap peserta Bintang RTM 2024 lebih mengutamakan lagu tempatan dalam pemilihan lagu. - NSTP/Hazreen Mohamad

Sementara itu, Raja Mohd Sham memohon setiap peserta Bintang RTM 2024 lebih mengutamakan lagu tempatan dalam pemilihan lagu.

Penerbitnya, Yang Faziatun Zainal Abedin memaklumkan setiap peserta hanya diberi dua peluang untuk menyanyikan lagu antarabangsa.

Katanya, peserta yang sudah menyanyikan dua lagu antarabangsa pada konsert minggu pertama dan kedua tidak dibenarkan menyanyikan lagi pada persembahan akan datang.

"Sebenarnya produksi sudah membincangkan perkara ini sejak awal lagi. Disebabkan itu, kami bersepakat bermula minggu ketiga peserta digalakkan memilih lagu tempatan.

"Pada sesi perbincangan dilakukan, kami mencapai persetujuan setiap peserta hanya diberi dua peluang untuk menyanyikan lagu antarabangsa, tapi keputusan ini masih belum muktamad.

"Kalau diikutkan ada beberapa peserta yang mahu menyanyikan lagu antarabangsa pada minggu ketiga, tapi kami meminta mereka untuk menukar lagu tempatan.

"Hanya dua peserta sahaja diberi peluang menyanyikan lagu antarabangsa pada konsert minggu depan," katanya.

Konsert Bintang RTM 2024 dikendalikan oleh Awal Ashaari menemui penonton secara langsung di saluran TV2 pada setiap Sabtu, jam 9 malam, dibawakan dari Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri.

Siaran langsung boleh diikuti secara dalam talian melalui RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my) dan radio rasmi BRTM 2024 adalah NASIONALfm.

Berita Harian X