Isnin, 22 Januari 2024 | 6:07pm
Shukri mengakui kekhilafan diri dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang. - NSTP/Rohanis Shukri
Shukri mengakui kekhilafan diri dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang. - NSTP/Rohanis Shukri

Rasa bersalah, Shukri akui kesilapan diri lakukan babak separuh lucah

KUALA LUMPUR: Pelakon Shukri Yahaya mohon maaf berhubung isu melakonkan babak didakwa berunsur separuh lucah bersama gandingannya, Alya Iman dalam drama berjudul Layang-Layang Perkahwinan.

Mengulas lanjut, Shukri atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Yahaya mengakui kekhilafan diri dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang.

"Saya minta maaf sebab apa yang terjadi datangnya daripada kesilapan saya sendiri.

"Babak ini sebenarnya dirakamkan pada hari pertama memulakan penggambaran. Saya sangat teruja melakonkan babak ini tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat.

"Selepas selesai penggambaran barulah terdetik rasa bersalah. Saya akan pastikan perkara ini tidak akan berulang pada masa hadapan," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Shukri turut menjelaskan, dirinya tidak suka membaca skrip terlebih dahulu dan lebih selesa membuat interpretasi mengenai wataknya pada hari penggambaran.

"Terus terang, saya memang tak suka baca skrip dan sejenis bila berada di set penggambaran barulah buat interpretasi berdasarkan skrip.

"Pada awalnya, saya bayangkan babak ini sedikit sahaja. Lagipun, babak ini dilakonkan pada hari pertama penggambaran dan saya terlampau bersungguh-sungguh untuk jayakan watak," ujarnya.

Shukri berharap peminat tidak terus beremosi kerana dirinya hanya mahu mempelbagaikan karakter. - NSTP/Rohanis Shukri
Shukri berharap peminat tidak terus beremosi kerana dirinya hanya mahu mempelbagaikan karakter. - NSTP/Rohanis Shukri

Sementara itu, mengulas perasaan Tya Adnan mengenai babak dilakonkannya, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu tidak menolak ia memberi kesan kepada isterinya.

"Bukan tak hormati perasaan isteri. Dia juga bukanlah okay dengan babak ini, tapi ambil pendekatan tidak menonton drama berkenaan.

"Sebelum itu, saya sudah beritahu Tya mengenai babak ini. Jadi, saya akan lebih berhati-hati selepas ini," katanya ditemui pada siang media drama Layang-Layang Perkahwinan, di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan dibenci netizen kerana melakonkan babak berkenaan, Shukri berharap peminat tidak terus beremosi kerana dirinya hanya mahu mempelbagaikan karakter.

"Saya nak cuba nampak lain sebab sebelum ini, saya selalu bawa watak lelaki lurus bendul.

"Jadi, saya nak buktikan boleh bawa watak ini, namun percubaan saya tidak diterima orang ramai. Ini kerana ia agak sensitif," luahnya.

Baru-baru ini, pelakon, Shukri Yahaya dilapor memohon maaf atas kontroversi babak didakwa berunsur separuh lucah atau 'soft porn' bersama gandingannya, Alya Iman, dalam drama berjudul Layang-Layang Perkahwinan.

Adegan membabitkan Shukri dan Alya itu tersebar melalui klip video yang antara lain memaparkan sedutan babak berkenaan, yang dikongsi netizen dalam media sosial.

Antara lain, babak itu memaparkan watak Azim Asibullah lakonan Shukri, sedang mandi, didatangi Tsuraya Lin (Alya).

Babak berani itu menjadi bahan kecaman dalam media sosial kerana didakwa cuba menormalisasikan kandungan separuh lucah.

Berita Harian X