Isnin, 22 Januari 2024 | 12:32pm
Shakilla nafi dakwaan Fizi cuba menghubunginya banyak kali selepas insiden tak dapat berjumpa Nur Ameena, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee
Shakilla nafi dakwaan Fizi cuba menghubunginya banyak kali selepas insiden tak dapat berjumpa Nur Ameena, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee

Munculkan diri jika nak bersama anak, bukannya ghaib - Shakilla

SHAH ALAM: Pelakon Shakilla Khoriri yang juga bekas isteri kepada penyampai radio, Fizi Ali menafikan dakwaan melarang anaknya, Nur Ameena Sofia, 5, bertemu dengan bapanya.

Bagaimanapun, Shakilla berkata, dia tidak berpuas hati dengan komitmen diberikan Fizi.

"Sebagai bapa, kalau rasa nak bersama anak, munculkan diri. Jangan hilang dan ghaib begitu sahaja.

"Jangan cakap begitu dan begini dan media sosial. Dia (Fizi) yang hilang," katanya yang ditemui BH Online pada sebutan kes hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Alam, di sini, pagi tadi.

Menjawab dakwaan menyekat nombor telefon Fizi, Shakilla tidak menafikan, namun mempunyai alasan munasabah mengapa bertindak sedemikian.

"Kenapa nombor Fizi disekat, kena tanya dia sendiri. Saya 'block' sebab ada campur tangan isteri baharunya.

"Apa yang dia sudah buat dengan Nur Ameena, saya ada bukti dan serahkan kepada peguam.

"Saya 'block' sebab saya tak berminat nak bercakap dengan orang selain bapa Nur Ameena. Walaupun itu isterinya," dakwanya.

Shakilla menafikan dakwaan Fizi cuba menghubunginya banyak kali selepas insiden tidak dapat berjumpa, baru-baru ini.

"Dia kata telefon saya berkali-kali mencari anak, tidak berlaku. Demi Allah saya cakap tiada, segala rekod dan bukti saya sudah serahkan kepada peguam.

"Fizi tiada telefon atau WhatsApp saya di mana-mana. Dia hanya keluarkan kenyataan demi kenyataan dalam media sosial," dakwanya.

Bulan lalu, Fizi memfailkan kes hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini kerana Shakila enggan membenarkannya bertemu anak.

Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla pada 18 Februari 2018, namun bercerai pada Disember 2021. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Nur Ameena Sofia.

Berita Harian X