Sabtu, 20 Januari 2024 | 2:00pm
Haziq (kanan) bersama Asmidar (kiri), Ahmad Muriz dan Yusni pada sidang media mempromosikan Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), bulan depan. Foto NSTP Eizairi Shamsudin
Haziq (kanan) bersama Asmidar (kiri), Ahmad Muriz dan Yusni pada sidang media mempromosikan Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), bulan depan. Foto NSTP Eizairi Shamsudin

Cermin mata hitam zon selesa Haziq Rosebi

KUALA LUMPUR: Disebabkan masalah keresahan atau 'anxiety' yang dialami sejak persekolahan, penyanyi lagu Irama Malaysia, Haziq Rosebi, 36, lebih selesa mengenakan kaca mata hitam di pentas.

Selain mengelak orang ramai melihat reaksi gementar pada wajahnya, bekas peserta musim keempat program realiti, Akademi Fantasia (AF4) ini menyifatkan kaca mata hitam umpama zon selesa dirinya.

"Masalah terbesar yang saya hadapi sampai sekarang apabila masih alami 'anxiety' sosial. Kalau orang lihat dari luaran, mungkin saya tiada masalah, tapi sebenarnya ada 'anxiety' dan kadang-kadang selalu fikir berlebihan (overthinking).

"Ada juga yang bertanya mengapa saya selalu pakai kaca mata hitam. Jadi, inilah masalah yang saya hadapi selama ini. Zon selesa saya adalah apabila saya pakai kaca mata hitam.

"Bila pakai cermin mata hitam, saya jadi lebih selesa dan tenang," katanya ditemui pada sidang media konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal anjuran Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Hotel Traders di sini, Khamis lalu.

Haziq berkata, masalah anxiety yang dihadapi berpunca daripada rasa trauma apabila pernah menjadi mangsa buli secara mental ketika di sekolah. Ini menyebabkan dia sukar membiasakan diri berhadapan dengan khalayak.

"Sebenarnya, masalah ini anxiety sejak kecil lagi. Saya pernah dibuli di sekolah. Disebabkan trauma, ia terbawa-bawa hingga dewasa.

"Saya tidaklah dibuli teruk. Mungkin mereka hanya suka-suka buli saya. Mungkin disebabkan saya anak bongsu dan manja, jadi ada kesannya di situ," katanya.

Ditanya mengenai langkah yang diambil bagi mengawal keresahan itu, Haziq berkongsi, dia perlu sentiasa gembira dan mengambil kafein pada waktu pagi.

Haziq menganggap pemakaian cermin mata hitam ketika membuat persembahan sebagai zon selesa. Foto IG Haziq Rosebi
Haziq menganggap pemakaian cermin mata hitam ketika membuat persembahan sebagai zon selesa. Foto IG Haziq Rosebi

"Saya pernah berjumpa doktor pada 2016 dan ambil ubat. Tetapi sekarang, saya tidak lagi mahu bergantung dengan ubat," katanya.

Haziq bakal menjayakan Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), di sini, pada 2 Mac ini.

Selain Haziq, konsert yang menghimpunkan 65 pemuzik orkestra dengan dibantu tujuh pemuzik keroncong di bawah kendalian konduktor MPO, Ahmad Muriz Che Rose itu dimeriahkan dengan penampilan penyanyi legenda, Datuk Yusni Hamid dan Asmidar.

Berita Harian X