Sabtu, 20 Januari 2024 | 1:01pm

Tolak didekati, Sophia trauma putus cinta

KUALA LUMPUR: Pelakon sensasi, Sophia Albarakbah memilih memulakan kehidupan baharu yang lebih tenang dengan hanya memberi tumpuan dalam kerjaya lakonan selepas melalui pelbagai onak duri sepanjang tahun lalu.

Selepas hubungan cinta bersama jejaka dikenali sebagai 'Mr Doktor' sejak tiga tahun lalu menemui jalan noktah, Sophia memberitahu, 2024 adalah fasa kembali bangkit.

Biarpun pernah terdetik rasa risau sekiranya jodoh lambat tiba sehingga tidak memiliki zuriat, pelakon berdarah kacukan Arab, Melayu dan Cina itu tetap positif dengan apa sahaja yang sudah diaturkan buat dirinya.

"Dari segi percintaan atau jodoh, sejujurnya saya tak fikir. Saya mahu fokus kepada kerjaya, tahun ini.

"Soal jodoh itu nanti-nantilah dan saya juga tak mencari. Ada yang cuba mendekati, tapi buat masa ini, saya masih belum berminat.

"Sebelum ini, risau juga kalau terlalu banyak bekerja jodoh akan sampai lambat.

"Malah, saya ada terfikir usia semakin meningkat dan saya mahu berkeluarga dan ada anak.

"Tapi, lama-kelamaan tiba-tiba saya hanya mahu fokus kepada kerja sahaja," katanya kepada BH Online.

Mengakui timbul rasa serik kembali menyulam cinta, Sophia menyifatkan ia adalah perkara sampingan dalam hidupnya ketika ini.

"Ada sikit rasa serik dan trauma daripada kisah percintaan lama. Bagaimanapun, itu bukan faktor utama.

"Saya sasar kerjaya lakonan sahaja. Percintaan bukan sasaran, ia hanya perkara sampingan yang tidak begitu penting," kata penerima trofi Aktres Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu.

Dari kiri, Shah Hazvee, Sophia dan Izuan Ramli yang bergandingan dalam filem Jiwa 8 Belas. - NSTP/Asyraf Hamzah
Dari kiri, Shah Hazvee, Sophia dan Izuan Ramli yang bergandingan dalam filem Jiwa 8 Belas. - NSTP/Asyraf Hamzah

Menurut Sophia, sempena kedatangan 2024 ini juga dia tidak lagi mahu terpalit dengan sebarang gosip murahan.

"Saya sebolehnya hendak menjaga imej dengan sebaik mungkin. Saya enggan peminat kenal saya kerana pelbagai cerita kontroversi. Saya nak mereka kagum lakonan saya.

"Cukup-cukuplah kontroversi yang pernah melanda, saya tidak mahu kisah silam diungkit lagi," katanya.

Dalam pada itu, Sophia bersyukur terus diberi kepercayaan syarikat produksi dan pengarah untuk menjayakan watak yang sesuai dengan kemampuan lakonannya.

"Sekarang bukan masa untuk menoleh ke belakang. Saya mahu fokus mengukuhkan nama dalam lakonan.

"Saya bersyukur dihujani pelbagai tawaran sepanjang tahun ini. Insya-Allah saya juga ada empat filem yang akan ditayangkan di pawagam tahun ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sophia tampil dengan filem Jiwa 8 Belas arahan S Baldev Singh yang dibikin pada 2018, namun ditayangkan sejak kelmarin.

Selain Sophia, filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu menampilkan pelakon lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, A Galak, Zila Bakarin, Shah Hazvee dan Izuan Ramli.

Berita Harian X