Sabtu, 20 Januari 2024 | 8:31am
Populariti dikecapi mengheret Nadeera ke kancah kontroversi apabila dikaitkan dengan isu bermasam muka dengan Aina dan Ernie. - Foto IG Nadeera
Populariti dikecapi mengheret Nadeera ke kancah kontroversi apabila dikaitkan dengan isu bermasam muka dengan Aina dan Ernie. - Foto IG Nadeera

Nadeera cari rezeki, tak suka bergaduh

KUALA LUMPUR: Laluan penyanyi Nadeera menempatkan diri dalam bidang seni penuh dengan onak ranjau.

Terlalu banyak cabaran perlu dilalui sebelum berjaya mencapai kedudukan semakin selesa seperti hari ini.

Bertahun-tahun Nadeera cuba membina nama, namun hanya tahun lalu bintangnya bersinar selepas dinobatkan juara program realiti, Big Stage musim kelima.

Bagaimanapun, populariti dikecapi turut mengheretnya ke kancah kontroversi apabila dikaitkan dengan isu bermasam muka dengan Aina Abdul dan Ernie Zakri.

Meskipun terkilan dengan apa yang berlaku, namun pemilik nama lengkap Farah Nadeera Zaini, 31, mengakui dia terpaksa akur kerana semua itu lumrah kehidupan anak seni.

"Masa nama saya suam-suam kuku dahulu, memang langsung tak pernah terkait dengan kontroversi.

"Bagaimanapun, bila nama mula dikenali, macam-macam isu timbul sehingga mengaitkan saya bermasam muka dengan Aina dan Ernie.

"Jujurnya, saya dan mereka tak pernah ada masalah. Kami okay sahaja. Saya berada dalam industri untuk mencari rezeki, bukannya nak cari gaduh dengan sesiapa," katanya kepada BH Online.

Tambahnya, seboleh mungkin dirinya akan cuba menjaga hubungan baik dengan rakan artis.

Nadeera kini mahu tonjolkan bakat terpendam sebagai komposer. - Foto IG Nadeera
Nadeera kini mahu tonjolkan bakat terpendam sebagai komposer. - Foto IG Nadeera

Malah, katanya, dia tidak kisah memohon maaf jika ada isu berbangkit bersama rakan artis agar krisis tidak berpanjangan.

"Berhubung isu menjadi penyanyi gantian pada peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-38 pada Disember tahun lalu, saya sudah minta maaf dengan Ernie.

"Jujurnya, saya memang tak tahu apa yang berlaku antara Ernie dan bekas syarikat rakaman.

"Saya sangka keputusan mencari penyanyi gantian adalah hasil persetujuan bersama, tetapi nyata tidak.

"Kalau jadi Ernie, saya pun nak nyanyi lagu Astana kerana ia adalah naskhah ciptaannya," ungkap penyanyi lagu Emas ini.

Beralih perkembangan kerjaya seninya, gadis kelahiran Mersing, Johor itu bakal muncul dengan album mini.

"Album mini ini akan memuatkan lima lagu dan kesemuanya adalah hasil ciptaan saya sendiri.

"Sebelum ini, kebanyakan lagu dicipta komposer lain. Mungkin sudah tiba masanya untuk saya tonjolkan bakat terpendam.

"Kebanyakan lagu dalam album mini akan menceritakan mengenai kebangkitan Nadeera dan jatuh bangun dalam bidang seni," katanya.

Nadeera bakal menjayakan konsert amal, Voice of the Heart yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 9 Mac depan bersama Jay Jay, Rahmad Mega dan Ernie.

Berita Harian X