Jumaat, 19 Januari 2024 | 8:50pm
Tyzo mahu berdamai, tetapi meletakkan kesalahan di bahu DJ Lin dan atas penamatan kontraknya. - STP/Genes Gulitah
Tyzo mahu berdamai, tetapi meletakkan kesalahan di bahu DJ Lin dan atas penamatan kontraknya. - STP/Genes Gulitah

Singkir saya seperti penjenayah - Tyzo

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, Tyzo, 47, terkilan diperlakukan seperti penjenayah apabila cara disingkirkan daripada stesen radio Suria FM sangat tidak profesional.

Tyzo mendakwa, diriya disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp ketika belum sempat keluar daripada bangunan pejabat Suria FM, sedangkan penyampai radio sebelum ini tidak pernah diperlakukan seperti itu.

"Bukan itu sahaja, beberapa segmen yang sudah dirakamkan dan sepatutnya disiarkan pada hari terakhir saya turut dipadamkan.

"Saya tertanya-tanya kenapa diperlakukan sebegitu, adakah saya penjenayah?," katanya yang ditemui pada sidang media tergempar di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, petang tadi.

Biarpun diperlakukan seperti itu, Tyzo berkata, dia bersedia kembali ke pangkuan Suria FM kerana masih sayangkan stesen radio berkenaan.

"Saya masih mengharapkan dapat kembali ke Suria FM walaupun dengan apa diperlakukan kepada saya. Ini kerana saya sayangkan Suria FM.

"Tapi, saya tahu ia tak mungkin berlaku. Jika berlaku satu keajaiban.

"Saya yakin peminat masih mahukan saya dan Sharifah Shahirah (Rara). Kalau nak panggil bila-bila masa pun saya bersedia," katanya.

Tyzo sedia kembali ke pangkuan Suria FM kerana masih sayangkan stesen radio berkenaan. - NSTP/Genes Gulitah
Tyzo sedia kembali ke pangkuan Suria FM kerana masih sayangkan stesen radio berkenaan. - NSTP/Genes Gulitah

Tambah Tyzo, dia bersedia berdamai, tetapi meletakkan kesalahan di bahu Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin dan Pengurus Program, Jay Jay atas penamatan kontraknya.

Tyzo mendakwa, kedua-dua individu itu menjadi 'mastermind' atas penamatan kontraknya. Salah seorang bertindak sebagai penasihat, seorang lagi sebagai pembuat keputusan.

"Saya tiada masalah untuk berdamai, cuma DJ Lin dan Jay Jay harus dipersalahkan dalam soal ini.

"Saya tak salahkan Ahli Lembaga Pengarah Star Media Group dan Pengerusi Star Media Radio Group, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse kerana beliau tidak tahu apa-apa, hanya dengar dari mulut mereka," dakwanya.

Berita Harian X