Khamis, 18 Januari 2024 | 6:25pm
Siti menghormati pandangan Mufti Pulau Pinang, Wan Salim dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan diberikan. - Foto IG Siti Nurhaliza
Siti menghormati pandangan Mufti Pulau Pinang, Wan Salim dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan diberikan. - Foto IG Siti Nurhaliza

Tak tunda, konsert Siti berbentuk amal, bukan kaut keuntungan

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak berhasrat menunda Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mac depan meskipun terdapat gesaan untuknya berbuat demikian.

Siti berkata, keputusan meneruskan konsert anjuran Yayasan Nurjiwa itu disebabkan acara itu lebih kepada berbentuk amal, bukannya berasaskan keuntungan semata-mata.

"Izinkan kami untuk sekali lagi menjelaskan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza bukan dianjurkan atas kepentingan perniagaan dan keuntungan.

"Yayasan Nurjiwa adalah badan amal ditubuhkan sejak 2006.

 

"Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza sering menyebut tujuan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza adalah untuk mengutip dana Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza adalah untuk mengutip dana bagi menampung lima kluster iaitu Kebajikan, Kemanusiaan, Keagamaaan, Pendidikan dan Bantuan Khas Palestin.

 

"Kesemua kluster berkenaan menjadi keutamaan Yayasan Nurjiwa dan bagi meneruskan kerja kebajikan ini, ia memerlukan dana mencukupi.

 

"Segala hasil kutipan tiket daripada pementasan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza akan disalurkan ke lima kluster berkenaan," katanya dalam satu kenyataan bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang juga pengasas Yayasan Nurjiwa.

Siti mengulas laporan media berhubung gesaan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor agar menunda konsert solonya itu.

Gesaan itu sebagai menghormati ketibaan bulan mulia, Ramadan al-Mubarak yang dijangka disambut pada 12 Mac depan.

Keputusan meneruskan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza disebabkan acara lebih kepada berbentuk amal, bukannya berasaskan keuntungan semata-mata. - Foto IG Siti Nurhaliza
Keputusan meneruskan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza disebabkan acara lebih kepada berbentuk amal, bukannya berasaskan keuntungan semata-mata. - Foto IG Siti Nurhaliza

Tambah Siti, alasan lain menyukarkan untuk menangguhkan konsert adalah faktor ketiadaan tarikh ganti yang sesuai.

"Sejak mula diberikan tarikh penganjuran konsert oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional, Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza sedia maklum tarikh 9 Mac 2024 menghampiri 1 Ramadan.

 

"Kami di Yayasan Nurjiwa diberitahu oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional bahawa 9 Mac sahaja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan.

"Untuk pengetahuan semua, kami sudah mula membuat tempahan dengan Perbadanan Stadium Nasional sejak awal 2023 lagi, namun tarikh yang sepatutnya tidak dapat dilaksanakan.

"Kami mohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baharu," jelas penyanyi lagu Romansa Kita ini.

Bagaimanapun, penyandang trofi Anugerah Seri Perak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 2012 itu menghormati pandangan mufti dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan diberikan.

"Yayasan Nurjiwa secara khususnya dengan penuh keinsafan dan berlapang dada menerima gesaan dan teguran beliau (mufti).

"Keprihatinan dan pandangan beliau amat kami hormati dan hargai. Terima kasih," ungkap Siti.

Pada 8 Januari lalu, Siti mengumumkan secara rasmi penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Berita Harian X