Khamis, 18 Januari 2024 | 3:01pm
Komitmen terhadap kerjaya membuatkan Naim terpaksa meletakkan perancangan kahwin dalam ‘waiting list’. - Foto NSTP
Komitmen terhadap kerjaya membuatkan Naim terpaksa meletakkan perancangan kahwin dalam ‘waiting list’. - Foto NSTP

Naim banyak kali 'tersingkir' dalam cinta

KUALA LUMPUR: Bukannya penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, 27, tidak terdetik mahu berumah tangga dalam usia makin meningkat.

Namun, komitmen terhadap kerjaya membuatkan Naim terpaksa meletakkan perancangan kahwin dalam 'waiting list'.

Tahun lalu, penyanyi lagu Sumpah itu pernah berkongsi kekosongan jiwanya kini terisi apabila seorang penyanyi wanita berjaya mengetuk pintu hatinya.

Bagaimanapun, Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin enggan memperkatakan lebih lanjut mengenai pendedahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

"2024 bukan tahun sesuai untuk berkenalan atau tamatkan zaman bujang. Buat masa ini, belum lagi.

"Ini kerana saya bakal sibuk dengan single baharu dan filem," katanya yang ditemui pada majlis sidang media Pesta Muzik Kuantan yang bakal berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 Februari depan.

Tambah Naim, sudah acap kali berkongsi kegembiraan tatkala hatinya dimiliki, namun hubungan tidak ke mana.

"Saya sedar bila terjebak dalam dunia hiburan, orang ramai berminat ingin tahu kisah peribadi. Bagi saya, benda baik memang perlu diuar-uarkan, tapi bila tak jadi, saya juga malu.

"Setiap kali ditemubual, pasti soal cinta dan jodoh akan diajukan media. Tapi saya tak pernah rasa rimas, cuma banyak kali saya disingkirkan dalam cinta (ketawa).

"Saya memang tak sempat nak fikirkan soal cinta atau kahwin sebab jadual terlalu sibuk hingga hujung tahun. Saya kini sedang sibuk berulang-alik ke Indonesia untuk siapkan lima lagu dan satu lagi lagu duet bersama Datuk Jamal Abdillah berjudul Urat.

"Selain itu, saya juga ada filem yang bakal menjalani penggambaran, tak lama lagi," katanya kepada BH Online.

Naim dan Shasha hanya berkawan baik, bakal bergandingan sekali lagi dalam drama, tidak lama lagi.
Naim dan Shasha hanya berkawan baik, bakal bergandingan sekali lagi dalam drama, tidak lama lagi.

Namun, timbul pula khabar angın mengatakan Naim kini rapat dengan pelakon Shasha Abedul.

Diajukan pertanyaan itu, Naim berkata, hubungan mereka akrab selepas terbabit dalam projek drama, beberapa tahun lalu.

"Kami saling kenal dan akrab kerana pernah berlakon bersama. Kami juga akan digandingkan sekali lagi, tidak lama lagi.

"Bila akrab dengan seseorang pelakon di lokasi, kami dituduh terjebak dengan cinta lokasi.

"Sebenarnya, saya tak kisah pun jika ada yang beranggapan sedemikian. Gosip ini selalu terjadi pada penyanyi atau pelakon.

"Kadang-kadang gosip bagus juga untuk tujuan pemasaran dan kandungan.

"Apapun, saya dan Shasha berkawan baik. Saya hormati Shasha kerana kami juga ada dalam lingkungan rakan yang sama," katanya.

Berita Harian X