Selasa, 16 Januari 2024 | 12:33pm
Fasha tidak kisah ranjang sengaja ditularkan jika tindakan boleh membantu meningkatkan jumlah tontonan drama Rampas Cintaku. - NSTP/Aziah Azmee
Fasha tidak kisah ranjang sengaja ditularkan jika tindakan boleh membantu meningkatkan jumlah tontonan drama Rampas Cintaku. - NSTP/Aziah Azmee

Fasha terbuka adegan ranjang tular

KUALA LUMPUR: Aktres sensasi, Fasha Sandha bersikap terbuka jika babak ranjang dalam drama bersiri, Rampas Cintaku 2 lakonannya menjadi tular hingga mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak.

Yakin sikap rasional yang ada pada penonton hari ini, pemilik nama lengkap Nur Fasha Sandha Hassan, 40, menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan mereka membuat penilaian.

"Bagi saya, sekarang semuanya kuasa viral dan jika babak itu menjadi kegemaran, kita tidak boleh nak halang sebab mungkin lebih membuatkan mereka tertarik.

"Sebagai pelakon, saya hanya menjalankan tugas mengikut skrip ditetapkan. Lagipun, saya percaya cerita ini ada banyak moral dan pengajaran yang boleh diambil.

"Saya serahkan pada penonton sama ada nak pilih positif atau negatif. Tapi, kalau mereka tak boleh terima, terserah kepada masing-masing.

"Ini kerana mereka mempunyai hak untuk menilai mesej yang ingin disampaikan dalam drama ini," katanya kepada BH Online.

Fasha bersama barisan pelakon pada sidang media dan tayangan perdana Rampas Cintaku 2, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee
Fasha bersama barisan pelakon pada sidang media dan tayangan perdana Rampas Cintaku 2, baru-baru ini. - NSTP/Aziah Azmee

Tambah isteri kepada pelakon Aidil Aziz ini, dia juga tidak kisah babak itu sengaja ditularkan jika tindakan boleh membantu meningkatkan jumlah tontonan.

"Jika babak tular menjadi sebahagian promosi drama, sekali gus membuatkan impian meraih jumlah tontonan sebanyak 400 juta seperti yang diharapkan tercapai, itu terpulang pada mereka.

"Paling penting, saya nak drama ini hit dan menjadi fenomena sekali lagi," ujar Fasha ditemui pada sidang media dan tayangan perdana Rampas Cintaku 2, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut karakter dalam naskhah sentuhan pengarah Ejump Mohd itu, Fasha memberitahu, dia perlu menguruskan badannya membawakan watak 'sugar mummy' untuk musim kedua ini.

"Saya tak sangka drama ini boleh mencetuskan fenomena sehingga mendapat jumlah tontonan 100 juta.

"Saya terasa hati juga bila penerbit drama minta saya kuruskan badan jika drama disambung untuk musim kedua. Rasa seperti terkena 'body shaming'.

"Adakah saya tak cantik disebabkan tubuh berisi. Tapi, saya bersikap positif dan sahut cabaran untuk kelihatan lebih sihat serta cantik," ungkapnya.

Selain Fasha, drama terbitan MIG Production itu turut dibarisi bintang handalan seperti Erra Fazira, Zamarul Hisham, Keith Foo, Afieq Shazwan, Puteri Balqis dan ramai lagi.

Rampas Cintaku 2 akan mula disiarkan di platform penstriman iQIYI Malaysia bermula Jumaat ini.

Berita Harian X