Isnin, 15 Januari 2024 | 3:02pm
Shiha kini lebih tenang dan bersangka baik dengan dakwaan dilemparkan terhadapnya. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Shiha kini lebih tenang dan bersangka baik dengan dakwaan dilemparkan terhadapnya. - NSTP/Eizairi Shamsudin

'Makin dihina, makin teguh'

KUALA LUMPUR: Pernah terdetik dalam hati untuk menamatkan riwayat diri gara-gara tidak tahan dengan kecaman dilemparkan dalam laman sosial.

Perasaan tertekan, kecewa dan malu bercampur-baur membuatkan penyanyi Shiha Zikir hampir hilang pedoman hingga nekad mahu bertindak di luar kewarasan fikiran.

Namun, keimanan yang masih menebal dalam hati dan sokongan keluarga yang tidak pernah putus menghalangnya melakukan perkara bukan-bukan.

Sejak itu, Shiha berkata, dia semakin matang dalam berdepan situasi yang boleh menjejaskan emosi.

Shiha berterima kasih kepada manusia yang pernah menzaliminya dengan ungkapan berbisa kerana kata-kata itulah yang membuatkannya terus kuat dan mampu berdiri teguh seperti yang dilihat hari ini.

"Saya pernah cuba mencederakan diri dan terfikir tiada gunanya untuk saya teruskan kehidupan. Ini kerana saya tidak tahan dengan kecaman.

"Apa dosa saya kepada mereka hingga tergamak hina saya? Kecaman netizen masih boleh diterima, tetapi apabila kata-kata itu datang daripada rakan industri sudah tentu melukakan hati.

"Mereka memandang rendah dan minta saya berdiri depan cermin sambil bertanya apakah saya layak berada dalam industri bersama mereka.

"Saya menangis apabila teringatkan kata-kata menghiris hati ini. Namun, bila merenung semula, saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang menghina saya.

"Ada hikmah yang tersembunyi di sebalik perbuatan mereka itu. Mereka menjadikan saya lebih kuat dan tabah dalam menghadapi apa sahaja dugaan.

"Saya tidak lagi 'lembik' seperti dahulu. Malah, saya kini lebih tenang dan bersikap rasional terhadap apa sahaja kata negatif netizen terhadap saya," katanya kepada BH Online.

Ternyata apa yang dikatakan Shiha itu bukan sekadar omong kosong kerana ketika namanya hangat diperdebatkan di laman X apabila ada individu mempertikaikan kejayaannya mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) serta melabel dirinya sebagai artis 'sendu', Shiha langsung tidak melenting.

Shiha tampil menghiburkan pengamal media pada Majlis Makan Malam BH di Hotel Wyndham Grand Bangsar, Bangsar, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Shiha tampil menghiburkan pengamal media pada Majlis Makan Malam BH di Hotel Wyndham Grand Bangsar, Bangsar, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Malah, penyanyi berusia 37 tahun itu kelihatan cukup tenang dan bersangka baik dengan dakwaan dilemparkan terhadapnya.

"Apa yang penting, jaga kesihatan mental. Allah kurniakan rezeki dan saya tak nak sia-siakannya. Saya sekarang lebih kepada berlapang dada dalam menerima kritikan.

"Dahulu kalau ada netizen tinggalkan komen bukan-bukan, saya akan balas, tapi kali ini saya biarkan sahaja. Mungkin apa yang mereka katakan ada kebenarannya, jadi saya ambil positif sahaja.

"Sekarang saya hanya nak berbaik dengan semua orang," ujarnya ditemui selepas menjayakan Majlis Makan Malam BH yang diadakan di Hotel Wyndham Grand Bangsar, Bangsar, baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas kejayaan lagu Kalam menjadi finalis AJL 38, pemilik nama lengkap Nurshiha Mohd Zikir itu meluahkan rasa syukur kerana ia ibarat bulan jatuh ke riba buatnya.

"Saya mengharapkan lagu Kalam berjaya ke peringkat akhir kerana saya mahu mesej dalam lagu ini dapat diterima dengan meluas. Justeru, pentas AJL amat sesuai untuk menyalurkan mesej ini.

"Lirik lagu Kalam terhasil berdasarkan luahan saya terhadap kecaman yang diterima. Sepanjang hampir dua dekad dalam industri, saya melalui pelbagai pengalaman pahit manis.

"Saya pernah menangis tak henti-henti akibat diserang warganet. Mesej lain yang turut diselitkan adalah kena sentiasa jaga lisan supaya tidak melukakan hati sesiapa.

"Sebagai anak seni mungkin saya boleh terima kerana berdepan situasi ini setiap hari.

"Tapi bagaimana pula jika perkara ini menimpa mereka yang tidak biasa dikecam? Tidakkah ia boleh mendatangkan mudarat seandainya mereka lemah dan tidak mampu berfikir panjang.

"Oleh itu, berhati-hatilah dalam mengeluarkan perkataan kerana kita tidak tahu mungkin apa yang dilafazkan memberi kesan buruk terhadap emosi seseorang individu," ujar Shiha.

Pada edisi AJL 36 buat julung kalinya Shiha menjejakkan kaki ke pentas akhir dengan lagu AEWO bersama Noki. Sebelum itu, Shiha pernah menjadi penyanyi gantian Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu 7 Nasihat bersama Luca Sickta dan Kmy Kmo pada AJL 35.

Pada AJL 37, Shiha memenangi kategori Persembahan Terbaik apabila menampilkan konsep 'glow in the dark'.

Berita Harian X