Sabtu, 13 Januari 2024 | 6:21pm
Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah bakal mencetuskan fenomena apabila raih kutiipan RM500,000 dalam tempoh 12 jam.
Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah bakal mencetuskan fenomena apabila raih kutiipan RM500,000 dalam tempoh 12 jam.

12 jam Pendekar Awang kutip RM500,000

KUALA LUMPUR: Filem terbitan Studio Kembara, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah berjaya mencatat kutipan di pawagam sebanyak RM500,000 selepas 12 jam ditayangkan.

Berita baik itu dikongsikan produksi Studio Kembara dalam laman Instagram (IG).

"Sokongan anda inspirasi kami. Terima kasih kepada semua penonton. Alhamdulillah dengan izin Allah, dalam masa 12 jam sahaja, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah sudah berjaya mengumpul RM500,000 kutipan.

"Ayuh menonton filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di pawagam terdekat anda," tulisnya.

Sementara itu, pelakon, Nur Fazura yang membintangi filem tersebut bersama suaminya, Fattah Amin turut gembira melihat pencapaian awal filem yang diarahkan oleh pengarah, Saiful Reza Shukor dan Shaharudin Md Dali itu.

"Masya-Allah Tabarakallah. Segala pujian hanya milik Allah SWT atas kurniaan kejayaan awal buat 12 jam pertama filem Pendekar Awang.

"Ucapan terima kasih buat seluruh rakyat Malaysia tercinta yang sudi menonton filem ini di pawagam.

"Saya sendiri masih mencari waktu untuk menonton berkali-kali lagi. Syabas buat keseluruhan para pelakon, pengarah dan tenaga kerja Pendekar Awang.

"Semoga kisah bersejarah ini dapat memberi manfaat serta menyuntik semangat juang di dalam diri kita. Mudah-mudahan. Jom ke pawagam berdekatan untuk menonton filem beramai-ramai," katanya yang memegang watak sebagai serikandi, Sayang dalam filem itu.

Filem prekuel kepada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan membabitkan kos RM15 juta itu mula menemui penonton di pawagam sejak Khamis lalu.

Ia dibintangi Fattah Amin, Nur Fazura, Wan Hanafi Su, Nam Ron, Nadhir Nasar, Amir Ahnaf, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amerul Affendi dan Hasnol Rahmat.

Filem ini berkisar perjalanan Tok Gajah dan pahlawan Melayu ke Terengganu untuk mendapatkan sokongan Sultan dan pendekar di negeri itu. Peristiwa berlaku di Pahang, selepas pertempuran terakhir Mat Kilau di Kuala Tembeling, apabila British mengarahkan Kapten Syers menangkap Tok Gajah.

Berita Harian X