Sabtu, 13 Januari 2024 | 8:31am
Nadhir hanya menjalankan tanggungjawab dan kepercayaan diberi penerbit, Studio Kembara untuk membawa watak Tahir sebaik mungkin dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah. Foto IG Nadhir Nasar
Nadhir hanya menjalankan tanggungjawab dan kepercayaan diberi penerbit, Studio Kembara untuk membawa watak Tahir sebaik mungkin dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah. Foto IG Nadhir Nasar

Nadhir Nasar tiada niat 'tenggelamkan' Fattah Amin

KUALA LUMPUR: Tidak menganggap watak Tahir dibawa dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah menenggelamkan teraju utama, Fattah Amin, bakat baharu, Nadhir Nasar percaya setiap penonton mampu menilai kebolehan setiap pelakon.

Bagi Nadhir, dia hanya menjalankan tanggungjawab dan kepercayaan diberi penerbit, Studio Kembara Sdn Bhd untuk membawa watak Tahir sebaik mungkin.

"Setiap penonton mungkin ada sudut pandang berbeza. Jadi, terpulanglah kepada mereka untuk menilai. Saya tetap melihat kekuatan Fattah dalam naskhah ini.

"Kami banyak berbincang demi menghidupkan watak... Tiada niat pun mahu bersaing atau mengatasi sesiapa.

"Bagi saya dalam setiap naskhah, seorang hero memerlukan pasukan. Kita sebagai pasukan juga perlu bergantung kepada hero bagi mencukupkan rasa cerita.

"Jika penonton masih mahu buat perbandingan, terpulang kepada mereka untuk menilai. Saya tidak mampu kawal pendapat mereka.

Nadhir menganggap dirinya bertuah apabila dapat berganding dengan pelakon idola seperti Wan Hanafi Su, Namron dan Amerul Affendi dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah. Foto NSTP Asyraf Hamzah
Nadhir menganggap dirinya bertuah apabila dapat berganding dengan pelakon idola seperti Wan Hanafi Su, Namron dan Amerul Affendi dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah. Foto NSTP Asyraf Hamzah

"Namun, saya tahu, Fattah sudah melakukan sehabis baik sebagai Pendekar Awang," katanya ditemui pada majlis pratonton filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di Putrajaya, baru-baru ini.

Jejaka yang mula mencipta nama selepas tampil dalam drama bersiri i-Tanggang ini menyifatkan dirinya sangat bertuah dapat berkongsi layar dengan idola seperti Wan Hanafi Su, Namron dan Amerul Affendi.

Nadhir berkata, selain barisan pelakon, kutipan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara yang dilapor lebih RM100 juta mendorongnya menerima pelawaan membintangi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

"Saya lihat, filem ini dapat meningkatkan semangat patriotisme, agama dan bangsa. Sebagai pelakon, saya bertanggungjawab meningkatkan semangat itu kerana generasi saya tidak terlalu terdedah kepada filem berunsur sejarah," katanya.

Menjadikan Beto Kusyairy sebagai idola, aktor berusia 28 tahun itu membuat keputusan melakonkan sendiri babak aksi tanpa menggunakan pelakon lagak ngeri.

"Saya selalu rujuk dan bertanya kepada Beto dalam memilih naskhah dan watak. Beto berpesan kalau hendak melakukan adegan berbahaya, soal keselamatan perlu diutamakan.

"Selain Beto, saya sangat kagum dengan aktor antarabangsa seperti Jackie Chan dan Tom Cruise yang melakonkan sendiri babak aksi yang lebih memberi kepuasan," katanya.

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah arahan Saiful Reza Shukor dan Shaharudin Mat Dali yang membabitkan kos RM15 juta mula menemui penonton di 146 pawagam di seluruh negara, kelmarin.

Filem ini berkisar perjalanan Tok Gajah dan pahlawan Melayu ke Terengganu untuk mendapatkan sokongan Sultan dan pendekar di negeri itu. Peristiwa berlaku di Pahang, selepas pertempuran terakhir Mat Kilau di Kuala Tembeling, apabila British mengarahkan Kapten Syers menangkap Tok Gajah.

Berita Harian X