Jumaat, 12 Januari 2024 | 8:28pm
Erra lebih selesa hidup sendiri dan lali dengan gosip sudah mendirikan rumah tangga. - NSTP/Rohanis Shukri
Erra lebih selesa hidup sendiri dan lali dengan gosip sudah mendirikan rumah tangga. - NSTP/Rohanis Shukri

Sudah-sudahlah gosip saya kahwin, carilah cerita artis muda pula - Erra Fazira

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira menyifatkan spekulasi dirinya sudah bergelar isteri orang gara-gara tersebar foto didakwa perkahwinannya, sebagai fitnah.

Erra atau nama sebenar, Fazira Wan Chek enggan mengambil pusing spekulasi itu, sebaliknya memilih memaafkan individu yang menyebarkan fitnah.

"Gambar kahwin yang sangkut pada dinding semestinya fitnah. Tak apalah, saya maafkan.

"Apabila saya dengar berita itu, saya hanya ketawa. Saya lebih tahu siapa diri saya dan dan siapa datang rumah," katanya kepada BH Online

Tambah penyanyi Yang Terindah Hanya Sementara itu, dia masih solo dan bahagia dengan status ibu tunggal yang digalasnya sejak tujuh tahun lalu.

"Saya masih ibu tunggal, sudah bertahun-tahun lamanya. Saya tidak menutup pintu tetapi rezeki mungkin belum lagi.

"Saya pun tak tahulah yang mahu buat gosip, mungkin ada hikmahnya… Ada pro dan kontra. Kebaikannya, bermakna orang masih berminat hendak tahu kisah peribadi kita.

"Tetapi yang buruknya, sudah-sudahlah tu. Carilah cerita berkenaan orang muda, ramai lagi artis baharu.

"Kadang kadang bila kita sudah sampai satu tahap usia, kita tidak mahu begini.

"Kalau dahulu, kalau kita nak kahwin mesti nak mewah-mewah, meriah, panggil semua orang. Pada usia begini tidak lagi.

"Saya lebih bahagia begini (hidup solo). Bagi saya kebahagiaan bukan terletak pada orang lain," katanya ditemui pada sidang media dan tayangan drama Rampas Cintaku 2 di sini, hari ini.

Terdahulu, tular gosip konon foto perkahwinan Erra dengan seorang ahli kenamaan, tergantung di dinding kediamannya.

Dakwaan itu dibuat seorang selebriti yang dikatakan berkunjung ke kediaman aktres jelita itu.

Erra sebelum ini pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali.

Erra mendirikan rumah tangga dengan komposer dan anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim pada 2003, namun, bercerai pada 2006.

Setahun kemudian, Erra berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 15 tahun.

Ikatan perkahwinan Erra dan Emran terlerai selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Erra kenudiannya digosip menjalinkan hubungan cinta dengan juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Shahir Zawawi, namun, perhubungan mereka putus di tengah jalan pada 2019.

Berita Harian X