Jumaat, 12 Januari 2024 | 5:24pm
Sophia gementar menonton lakonan pertamanya dalam filem Jiwa 8 Belas yang akan ditayangkan, minggu depan. Foto IG Sophia Albarakbah
Sophia gementar menonton lakonan pertamanya dalam filem Jiwa 8 Belas yang akan ditayangkan, minggu depan. Foto IG Sophia Albarakbah

Sophia takut hidupkan babak jadi mangsa rogol

PETALING JAYA: Aktres sensasi, Sophia Albarakbah, 31, mengaku berdepan ketakutan ketika menjayakan babak menjadi mangsa rogol dalam filem Jiwa 8 Belas yang akan ditayangkan di pawagam, mulai 18 Januari ini.

Lebih membuatkan dirinya tidak senang apabila filem yang menjalani penggambaran pada 2018 itu menjadi naskhah pertamanya sejak terjun dalam dunia seni.

"Sebenarnya, saya takut dan gementar untuk melakonkan babak rogol dalam filem itu.

"Ketika penggambaran dibuat pada 2018, saya masih baharu dan tidak tahu bagaimana hendak menjayakan babak itu.

"Mujurlah kru, pengarah dan pelakon di set banyak membantu. Jadi, saya rasa selesa. Saya sudah cuba yang terbaik untuk melakonkannya," katanya ditemui selepas tayangan perdana filem Jiwa 8 Belas di TGV 1 Utama di sini, semalam.

Sophia memberitahu, dia sekarang lebih bersedia untuk menjayakan babak sama jika masih ditawarkan.

"Jika terima tawaran seperti itu lagi, saya akan tengok dahulu jalan ceritanya. Kalau naskhah itu baik dan boleh menaikkan nama saya sebagai pelakon, saya akan cuba.

"Filem Jiwa 8 Belas adalah lakonan pertama saya. Sejujurnya saya sangat gembira melihat peningkatan kemahiran lakonan sehingga hari ini.

"Cuma saya tidak mahu terlalu selesa dan akan terus memperbaiki diri," kata penerima trofi Aktres Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu.

Mengulas watak Atien yang dilakonan dalam filem Jiwa 8 Belas, pelakon berdarah kacukan Arab, Melayu dan Cina itu gementar untuk menyaksikan lakonan pertamanya itu.

"Memang rasa gementar hendak tengok. Saya tidak mengharapkan apa-apa sebab masa itu masih tiada asas dan pengalaman dalam lakonan.

"Tetapi, apabila sudah tonton sampai habis, tidaklah teruk sangat," katanya.

Selain Sophia, filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu menampilkan pelakon lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, A Galak, Zila Bakarin dan Shah Hazvee.

Berita Harian X