Jumaat, 12 Januari 2024 | 11:40am
Masalah dihadapi Aman mendapat perhatian apabila Shiera memuat naik perkongsian dalam Instagram (IG), baru-baru ini.
Masalah dihadapi Aman mendapat perhatian apabila Shiera memuat naik perkongsian dalam Instagram (IG), baru-baru ini.

Aman, mana kamu? Kawan-kawan boleh bantu - Pengarah Baldev Singh

PETALING JAYA: "Aman, bangkitlah... Tak mustahil. Kamu tidak perlu minta daripada sesiapa, kita kawan-kawan ada untuk bantu."

Demikian kata penerbit dan pengarah, Baldev Singh, 61, ketika ditanya mengenai pelakon Aman Graseka yang dikatakan mengalami kesukaran hidup sehingga memohon bantuan kewangan daripada rakan artis.

Baldev yang bekerjasama dengan Aman ketika penggambaran filem Jiwa 8 Belas pada 2018, sedia membantu pelakon itu jika benar dia berdepan kesulitan hidup.

Baldev terkejut dengan dakwaan konon Aman hidup susah kerana sepanjang perkenalan, dia menyifatkan Aman pelakon yang komited dengan kerjaya.

"Saya hendak bantu Aman, saya sudah hubungi dia. Namun, tiada jawapan. Saya tidak tahu apa masalah yang dia hadapi sekarang.

"Untuk filem Jiwa 8 Belas, bayaran dia saya sudah selesaikan dan tiada hutang. Saya sedih dengan apa yang jadi pada Aman.

Baldev ketika berada di lokasi penggambaran filem Jiwa 8 Belas yang turut dibintangi Aman pada 2018. Foto IG S Baldev Singh
Baldev ketika berada di lokasi penggambaran filem Jiwa 8 Belas yang turut dibintangi Aman pada 2018. Foto IG S Baldev Singh

"Saya sudah hubungi, tapi langsung tiada jawapan," katanya ditemui selepas tayang perdana filem Jiwa 8 Belas di TGV 1 Utama di sini, semalam.

Sebelum ini, berita pelakon filem Cinta Kita itu mendapat perhatian selepas penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah atau mesra disapa Shiera, memuat naik perkongsian dalam Instagram (IG).

Menerusi hantaran itu, Shiera berkongsi mengenai Aman atau nama sebenar, Aman Shah Baharom Shah, 56, yang meminta bantuan kewangan untuk memberi makan kepada anak-anaknya.

Baldev berkata, selepas mendapat tahu mengenai keadaan Aman, dia berniat menawarkan bantuan.

"Saya tahu mengenai perkara ini selepas tular di media sosial. Saya ada mesej dia untuk datang ke tayangan perdana filem Jiwa 8 Belas, tetapi, tiada jawapan.

"Saya hendak bantu supaya dia dapat cari kerja dan berdikari untuk keluarga. Saya bukan mahu tolong dengan beri sumbangan duit, tapi sediakan peluang pekerjaan kepada dia.

"Di mana pun dia berada, kita boleh minta kawan-kawan bantu. Tapi, kalau dia ada masalah di sebalik itu, saya tak tahu," katanya.

Aman sepatutnya hadir ke majlis tayangan perdana filem Jiwa 8 Belas terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd bersama pelakon lain, semalam. Namun, kelibatnya tidak kelihatan.

Filem Jiwa 8 Belas yang turut dibintangi A Galak, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Shah Hazvee dan Sophia Albarakbah, mula menjengah pawagam pada 18 Januari ini.

Berita Harian X