Jumaat, 12 Januari 2024 | 11:27am
Yasmin dan Shahrin mengekalkan hubungan baik selepas berpisah demi anak-anak. - Foto IG Yasmin Hani
Yasmin dan Shahrin mengekalkan hubungan baik selepas berpisah demi anak-anak. - Foto IG Yasmin Hani

Tak berebut anak rahsia Yasmin, Shahrin kekal baik

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Yasmin Hani, 45, menjelaskan keinginan melihat cahaya mata membesar seperti kanak-kanak lain dan menjaga emosi membolehkannya dan bekas suami, Shahrin Razali, 60, mengekalkan hubungan baik walaupun sudah bercerai.

Katanya, komunikasi dengan bekas pemain dram kumpulan Blackrose itu dirasakan semakin baik apabila berhubung hampir setiap hari bagi urusan persekolahan dua cahaya mata.

"Sekarang boleh dikatakan saya lagi kerap berhubung dengan Shahrin berbanding kekasih, Alif Hadi sebab mudah untuk urusan hantar dan ambil anak ke sekolah.

"Kami juga memilih lebih bertamadun dengan mengelak membuka aib masing-masing selepas tidak lagi bergelar suami isteri supaya anak tidak terkesan dengan perceraian.

"Saya pun tak sangka mampu berbaik seperti ini, bahkan saya sentiasa doakan Shahrin dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama bersiri, Gemersik Berbisik, di Bandar Utama, kelmarin.

Pemilik nama lengkap Yasmin Hani Ismail Richardson berkata, dia juga akan menyertai bekas suaminya dengan anak bercuti ke Bali, Indonesia pada Mac depan.

Yasmin berkongsi, keakraban dengan Shahrin meraih perhatian hingga ramai meminta nasihat daripadanya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Yasmin berkongsi, keakraban dengan Shahrin meraih perhatian hingga ramai meminta nasihat daripadanya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Bahkan, katanya, Shahrin mempunyai perancangan membawa anak mengerjakan umrah, tahun ini.

"Shahrin ada sebut nak membawa anak menunaikan umrah. Saya belum pernah ke Tanah Suci turut memasang niat mahu menyertai mereka.

"Sebelum ini, Shahrin pernah ke Makkah, tapi saya baru kali pertama kalau diberikan rezeki mahu beribadah dengan anak," ujarnya.

Pada masa sama, bekas pengacara program Dapur Tempur itu mengakui keakraban dengan bekas suami turut meraih perhatian ramai yang meminta nasihat daripadanya.

"Saya ada menerima mesej langsung (DM) daripada individu yang mahu meminta cerai dan sudah berpisah bagi mendapatkan nasihat menjaga hubungan baik demi anak.

"Tapi, saya sendiri tak berani nak bagi pandangan kerana rumah tangga saya pun berantakan.

"Nasihat saya fikir panjang sebelum bercerai, selain jangan berebut anak.

"Saya dulu pun bertahan lima tahun sebelum bercerai," jelasnya.

Terdahulu, Yasmin dan Shahrin mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata, Noah Ismail Wong, 10, dan Eissa Elzander Wong, 7.

Bagaimanapun, pasangan ini sah bercerai pada Disember 2021 selepas tiada persefahaman dalam perhubungan.

Berita Harian X