Jumaat, 12 Januari 2024 | 11:10am
Aman, Reena dan dua anak mereka. Foto IG Aman Graseka
Aman, Reena dan dua anak mereka. Foto IG Aman Graseka

Kecoh suami minta bantuan, isteri Aman Graseka tak berani komen

KUALA LUMPUR: Isteri pelakon Aman Graseka iaitu Reena Arina enggan mengulas lanjut dakwaan konon dia individu di sebalik rayuan bantuan kewangan untuk suaminya, seperti yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu.

Reena hanya memberi jawapan ringkas atas dakwaan konon dia adalah 'scammer' yang menggunakan nama Aman untuk meminta bantuan kewangan.

Aman dan Reena diijabkabulkan dalam majlis ringkas di Masjid Al-Huda, Kampung Padang Geh, Kuala Ketil, Kedahpada 2018. Foto IG Aman Graseka
Aman dan Reena diijabkabulkan dalam majlis ringkas di Masjid Al-Huda, Kampung Padang Geh, Kuala Ketil, Kedahpada 2018. Foto IG Aman Graseka

"Saya tak tahu nak jawab. Abang Aman sudah cakap hari itu, jadi saya tak tahu. Saya tak berani nak komen... Minta maaf," katanya kepada BH Online.

Pada perbualan itu, BH Online memohon kebenaran untuk bercakap dengan Aman. Namun, Reena memaklumkan suaminya tiada di rumah.

"Hendak cakap dengan abang? Pasal kes yang itu, iya? Kami pun tak tahu. Abang Aman tiada, dia keluar," katanya.

Bertanya mengapa Aman tidak menjawab panggilan telefon, Reena menjawab, dia tidak tahu menahu.

"Oh dia tak angkat? Saya tak pastilah," katanya.

Reena kemudian meminta BH Online mendapatkan Aman secara terus berhubung kontroversi berkenaan.

Semalam, BH Online melaporkan bekas isteri Aman iaitu Mas Idayu percaya insan yang meminta bantuan kewangan dari rakan-rakan artis bukanlah Aman, sebaliknya, 'scammer' di dalam rumah Aman.

Mas atau Mas Idayu Mesnun, 51, berkata dia mengenali Aman dan percaya Aman bukanlah seorang yang gemar meminta-minta wang daripada orang lain.

Namun, Mas Idayu tidak menafikan, pada masa sama, dia terperanjat apabila nama Aman tular.

Sebelum itu, penyampai radio, Sharifah Shahirah dan rakan artis menyuarakan kebimbangan atas kesahihan kesukaran hidup yang dihadapi Aman.

Shahirah atau lebih mesra disapa Shiera pernah memuat naik di laman sosial Instagram (IG) mengenai konon Aman yang juga pelakon popular era 1990-an, memerlukan bantuan kewangan.

Shiera dilapor mengaku menerima mesej daripada Aman memohon bantuan darinya. Justeru, Shahirah meminta bantuan rakyat Malaysia agar pelakon 'senior' terbabit tidak lagi perlu meminta wang daripada rakan selebriti lain.

Namun, selepas menyalurkan bantuan sebanyak dua kali, Shiera meragui kesahihan situasi Aman dan memohon Aman tampil menjelaskan situasi sebenar.

"Saya ada mesej dan bertanya padanya, betulkah dia Aman. Dia kata 'iya' dan kemudian dia padam perbualan kami di WhatsApp. Saya mengamuklah, kenapa dia padam, dia padam maksudnya dia 'scammer'.

"Dia 'scammer' atau ada orang yang menyuruh dia berbuat demikian. Sebab mengenali Aman, dia tidak pernah begitu. Teapi selepas berkahwin dia agak pelik, mungkin dia susah selepas berkeluarga," katanya.

Selepas 15 tahun hidup bersendirian, Aman berkahwin dengan model dan pelakon baharu, Reena pada 2018.

Aman dan Reena diijabkabul dalam majlis ringkas di Masjid Al-Huda, Kampung Padang Geh, Kuala Ketil, Kedah selepas lebih setahun menyulam cinta.

Sebelum itu Aman pernah mendirikan rumah tangga dengan Mas Idayu pada 1997. Namun, mereka berpisah pada 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nurdayini Ashiqah, 26.

Berita Harian X