Khamis, 11 Januari 2024 | 6:27pm
Amir tidak melatah biarpun sedikit ‘letih’ lantaran kerap diajukan persoalan gosip hubungan dengan Anna. - Foto IG Amir Ahnaf
Amir tidak melatah biarpun sedikit ‘letih’ lantaran kerap diajukan persoalan gosip hubungan dengan Anna. - Foto IG Amir Ahnaf

Amir tak peduli krisis Anna, Meerqeen

KUALA LUMPUR: Masih belum berpunya, bintang yang namanya kini sedang meniti di bibir peminat, Amir Ahnaf belum terfikir menjalin hubungan istimewa dengan mana-mana wanita.

Memikirkan tanggungjawab dipikul sebagai anak sulung kepada sembilan adik beradik, pelakon kelahiran Dungun, Terengganu itu hanya ingin memberikan tumpuan pada kerjaya lakonan.

Walau cuba mengelak terpalit dengan gosip percintaan, namun jejak berusia 23 tahun itu gagal menepis gosip cinta lokasi daripada mengejarnya.

Hampir enam tahun bergelar pelakon, namanya tidak semena-mena dikaitkan dengan heroin Drama Syurga Itu Bukan Mudah, Anna Jobling, gara-gara kemesraan yang sering ditampilkan dalam laman sosial.

Ketika diasak sejauh mana hubungan bersama Anna, Amir tidak melatah biarpun sedikit 'letih' lantaran kerap diajukan persoalan sama.

"Status saya masih single, cuma agak penat apabila asyik ditanya mengenai hubungan dengan Anna. Sebaik masuk ke set, saya sudah beritahu Anna yang saya masuk set ini untuk jadi Farid, bukannya Amir.

"Semuanya kerana saya tak nak campur urusan peribadi Anna, begitu juga saya, tak mahu soal peribadi saya dicampuri.

"Ini bagi menghalang fokus saya daripada terganggu apabila dikaitkan dengan soal peribadi.

"Kami hanya 'bestie', bila sudah kenal Anna, ternyata dia seorang yang gila-gila dan saya seronok bergandingan dengannya dalam drama ini," katanya yang ditemui selepas tayangan filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Amir turut membintangi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah membawa watak Andak. - Foto NSTP
Amir turut membintangi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah membawa watak Andak. - Foto NSTP

Sebelum memulakan penggambaran dan sebagai tanda hormat pada Meerqeen, Amir mengakui menghantar mesej menerusi WhatsApp bagi memaklumkan kolaborasinya dengan wanita itu.

Katanya, dia tidak peduli apa yang berlaku antara mereka. Namun sebagai insan berperikemanusiaan, dia harus berbuat demikian supaya tidak timbul sebarang isu pada kemudian hari.

"Tiada isu pun antara kami. Sebenarnya sebelum jumpa Anna, saya ada mesej Meerqeen maklumkan mengenai projek drama kami.

"Dia balas okay dan titipkan kata-kata semoga berjaya. Saya tak peduli apa berlaku antara mereka, saya rasa semua orang dan saya tahu.

"Tapi, saya tak mahu campur dan saya hantar kiriman mesej sebagai tanda respek kepada Meerqeen," katanya kepada BH Online.

Spekulasi hubungan istimewa antara Amir dan Anna mula bertiup kencang selepas mereka dilihat kerap memuat naik gambar mesra sehingga ramai menyifatkan mereka pasangan serasi.

Situasi itu mencetuskan kontroversi apabila Amir dikaitkan menjadi puncak hubungan Anna dan Meerqeen dingin.

Biarpun tidak pernah mengesahkan wujudnya perasaan cinta antara mereka, ramai peminat percaya bintang drama Melur Untuk Firdaus itu adalah pasangan kekasih.

Berita Harian X