Rabu, 10 Januari 2024 | 6:01pm
Aufahanie berpendapat wanita zaman perlu pandai berdikari dan memiliki segulung ijazah demi masa hadapan. - NSTP/Hazreen Mohamad
Aufahanie berpendapat wanita zaman perlu pandai berdikari dan memiliki segulung ijazah demi masa hadapan. - NSTP/Hazreen Mohamad

Aufahanie menyanyi sambil belajar

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aufahanie, 21, mengakui perpisahan ibu bapanya sejak berusia sembilan tahun membuatkan dirinya pandai berdikari dan melakukan kerja rumah.

Aufahanie atau nama sebenarnya, Nur Aufahanie Mokhtar berkata, di sebalik kepahitan hidup yang tersembunyi itu banyak perkara positif, malah pengalaman juga mematangkan dirinya.

"Ketika Darjah 4, saya sudah duduk berasingan dengan umi. Ini kerana saya duduk dengan ayah sampailah Tingkatan 3 barulah tinggal sebumbung dengan umi. Saya duduk dengan ayah, abang dan adik.

"Bila begitu, saya kena jaga adik dan abang. Jadi, tugas memasak dan kerja rumah memang saya yang buat. Ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya duduk dengan dua abang dan adik perempuan, jadilah sayalah ibu di rumah.

"Saya ada kakak, tapi sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

Walaupun kisah hidup saya pahit, Alhamdulillah ada hasil dan manfaatnya.

"Ada anak perempuan sebelum kahwin tak masuk dapur langsung sebab emak ayah tolong buatkan. Tak mengapa sebab ada antaranya belajar memasak selepas habis pengajian.

"Banyak yang saya belajar dalam tempoh ini. Kalau tak tahu resipi, saya 'google' atau saya tanya umi dan cuba buat sampai lama-lama tak perlu tengok resipi," katanya kepada BH Online.

Aufahanie yang pernah merakamkan semula lagu Saat Hilang Cintamu nyanyian asal Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pernah menyertai program realiti, Vokal Mania dan Big Stage musim kelima.

Perpisahan ibu bapa mematangkan Aufahanie, malah menjadikannya cekap memasak dan buat kerja rumah. - NSTP/Hazreen Mohamad
Perpisahan ibu bapa mematangkan Aufahanie, malah menjadikannya cekap memasak dan buat kerja rumah. - NSTP/Hazreen Mohamad

Dalam perkembangan lain, finalis Big Stage musim kelima itu kini sudah mula menyambung pelajaran di sebuah universiti swasta.

Aufahanie berpendapat, wanita zaman sekarang perlu pandai berdikari dan miliki segulung ijazah serta berpendidikan tinggi kerana ia berguna untuk masa hadapan.

"Saya buka tirai 2024 dengan menyambung pengajian dalam jurusan Media dan Komunikasi, selepas hampir setahun saya tangguhkan pengajian.

Selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia, saya belajar muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, tapi ekoran ada masalah peribadi yang tak mahu perlulah diceritakan, saya terpaksa 'drop out' dari UiTM. Lima bulan juga saya berehat.

"Ketika itu, saya memang aktif menyanyi dan berniat nak sambung serta selesaikan pengajian. Saya cari universiti yang boleh saya ambil 'foundation' dan habiskan pengajian.

"Sekarang barulah saya ada peluang sambung 'degree'. Adik-beradik semua habiskan pengajian.

"Umi selalu pesan nak menyanyi, kena tamatkan pengajian juga, jadi saya saya kena selesaikan pengajian.

"Kalau ada rezeki, karier saya berjalan rancak, saya tetap kena habiskan walaupun lambat," katanya yang bercita-cita mahu menjadi peguam pada awalnya.

Aufa bersyukur karier nyanyiannya diuruskan dengan baik oleh syarikat pengurusannya, Indigital Music, justeru merasakan tiada masalah untuk menyanyi sambil belajar.

Berita Harian X