Rabu, 10 Januari 2024 | 5:48pm
Selepas sembilan tahun menanti, akhirnya Taiyuddin dan Norzila timang anak lelaki, pagi semalam. - Foto IG Norzila Zulkifli
Selepas sembilan tahun menanti, akhirnya Taiyuddin dan Norzila timang anak lelaki, pagi semalam. - Foto IG Norzila Zulkifli

Taiyuddin, Norzila timang anak pertama selepas 9 tahun menanti

KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah, isteri saya dah selamat bersalin. Bayi kami lahir awal pagi semalam.

"Kami dianugerahkan bayi lelaki seberat 2.8 kilogram. Proses kelahiran secara normal di Hospital Serdang kira-kira jam 12.40 pagi. Alhamdulillah, Zila okay dan stabil."

Demikian kata pelakon dan penggiat teater, Taiyuddin Bakar yang menimang anak sulung menerusi perkahwinan dengan Norzila Zulkifli, anak ketiga pelakon legenda, Allahyarham Datuk Zulkifli Zain dan Datin Normala Omar.

Pasangan sebaya usia 41 tahun yang berkahwin pada Mei 2014 di Kota Madinah itu menimang anak selepas sembilan tahun berkahwin.

"Segala-galanya baik sahaja. Cuma Zila kena jalani prosedur operasi standard (SOP) bersalin dan dipantau doktor sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

"Syukur rezeki kami. Zila tak pernah mengandung sebelum ini, apatah lagi keguguran. Berita gembira ini disampaikan kepada saya ketika kandungannya berusia dua bulan sekitar Mei tahun lalu.

"Bukan kata kami tak berharap kerana selalunya kami berdoa sungguh-sungguh minta kepada Allah. Tapi bila tiada rezeki, kami sudah reda. Kalau ada kami bersyukur kalau tiada pun kita terima, Alhamdulillah," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Allah tahu yang terbaik dan memberikan mereka rezeki pada masa yang tepat.

"Allah tahu segala-galanya. Kadang-kadang kita rasa kita sudah sedia tapi sebenarnya kita tak sedia. Memang pasti ini aturan Allah.

"Saya sebenarnya tak pernah rasa rendah diri dengan kawan-kawan yang sudah berkahwin dan ada anak. Sebabnya saya suka budak-budak.

"Dalam masa yang sama, saya ada jaga dua anak saudara berusia tiga dan enam tahun. Mereka duduk dengan kami dan kami jaga mereka sejak usia setahun setengah dan setahun.

"Jadi, latihan itu (jaga kanak-kanak) sudah ada," katanya.

Taiyuddin terima kejutan daripada Norzila ketika usia kandungan memasuki dua bulan, tahun lalu. - Foto IG Taiyuddin Bakar
Taiyuddin terima kejutan daripada Norzila ketika usia kandungan memasuki dua bulan, tahun lalu. - Foto IG Taiyuddin Bakar

Taiyuddin berkata, dia sukar menggambarkan perasaan apabila mempunyai anak sendiri.

"Apapun saya sangat bersyukur kepada Allah. Dalam masa sama, ada rasa gembira, risau dan bimbang adakah saya mampu jadi seorang ayah yang betul-betul baik untuk dia?

"Untuk persiapkan persiapan akhirat dia, benda-benda inilah yang difikirkan sebab kita berada dalam hidup dan persekitaran yang mencabar sekarang.

"Syukur kepada Allah tambah seorang lagi umat Nabi Muhammad. Allah beri rezeki lahirkan atas muka bumi ini melalui rahim isteri saya seorang Da'i," katanya.

Menurutnya, dia sudah mempunyai nama bayi dan memilih nama salah seorang sahabat Nabi Muhammad.

"Kelahiran anak ini amat menggembirakan kedua-dua keluarga kami. Saya anak sulung daripada empat adik-beradik. Mereka semua sudah kahwin dan ada anak.

"Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada orang ramai selain keluarga kami yang mendoakan.

"Tidak lupa terima kasih kepada jururawat dan doktor serta pegawai perubatan yang ada bersama saya di bilik bersalin," katanya.

Berita Harian X