Rabu, 10 Januari 2024 | 3:12pm

Suami, anak Allahyarham Fiza dapat faedah PERKESO setiap bulan

KUALA LUMPUR: Waris kepada wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin atau Fiza yang meninggal dunia di London pada Disember tahun lalu layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan, semakan rekod caruman mendapati arwah pernah berkhidmat di tujuh syarikat berbeza sejak Disember 2002.

"Sehubungan itu, suami arwah, Mohd Roshdi Ramli layak mendapat faedah PERKESO untuk sepanjang hayat, manakala dua anaknya diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin.

"Faedah ini boleh dilanjutkan sekiranya mereka menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

"Berdasarkan rekod caruman PERKESO milik arwah, kami mendapati keluarganya layak terima bayaran berkala Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,975.00 setiap bulan dan Fardah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 secara sekali bayar menerusi Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4)," katanya selepas mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris di Ampang, Selangor, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet.

Terdahulu, industri kewartawanan tanah air dirundung duka selepas dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Fiza yang meninggal dunia di London ketika bercuti akibat pendarahan otak.

Mohammed Azman mengadakan Ziarah Prihatin mengunjungi suami Allahyarham Fiza, Mohd Roshdi di kediaman di Ampang, hari ini. - Foto Ihsan PERKESO
Mohammed Azman mengadakan Ziarah Prihatin mengunjungi suami Allahyarham Fiza, Mohd Roshdi di kediaman di Ampang, hari ini. - Foto Ihsan PERKESO

Allahyarham Fiza, 41, dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London ketika menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti selama dua minggu pada pertengahan Disember tahun lalu.

Allahyarham juga bekas pesakit kanser payudara, namun sel barah dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut.

Lebih memilukan, percutian dirancang ke London kali ini adalah hajat terakhir arwah Fiza bagi menunaikan janji bersama anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

Pemergian wartawan hiburan berkenaan turut mendapat perhatian rakyat Malaysia yang menderma melalui tabung Bantulah Fiza.

Sumbangan derma daripada artis, media dan orang ramai ini disalurkan melalui Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di mana sebanyak RM50,000 disampaikan kepada waris.

Ia bagi membiayai kos membawa pulang jenazah ke tanah air, Sabtu lalu.

Mohammed Azman menyerahkan faedah PERKESO yang diterima Allahyarham Fiza kepada Mohd Roshdi. Turut hadir, Altimet. - Foto Ihsan PERKESO
Mohammed Azman menyerahkan faedah PERKESO yang diterima Allahyarham Fiza kepada Mohd Roshdi. Turut hadir, Altimet. - Foto Ihsan PERKESO
Berita Harian X