Rabu, 10 Januari 2024 | 1:01pm
Alif & The Locos mampu membuai hati penonton menerusi kelunakan suaranya. - NSTP/Asyraf Hamzah
Alif & The Locos mampu membuai hati penonton menerusi kelunakan suaranya. - NSTP/Asyraf Hamzah

'Cari jodoh terbaik di masjid'

KUALA LUMPUR: Pujian diberikan pakar motivasi yang menyifatkan penyanyi dan pengacara, Alif Satar mempunyai kehidupan seimbang bukanlah ingin menjaga hati ataupun mainan kata semata-mata.

Sebaliknya, apa yang dinyatakan Datuk Fadzilah Kamsah berhubung keperibadian dimiliki artis serba boleh itu terbukti benar selepas melihat kehidupan Alif yang bukan sahaja cemerlang dari segi duniawi, malah ukhrawi.

Bukan sahaja mempunyai 'magis' mengajak orang ramai menunaikan solat subuh di masjid menerusi kempen solat subuh seperti Jumaat yang digerakkan, bahkan Alif juga memiliki aura menarik ramai penonton menyaksikan konsertnya.

Ahad lalu, bertempat di Zepp Kuala Lumpur, Alif berjaya menghimpunkan kira-kira 2,000 penonton menerusi Konsert A Night With Alif Satar & The Locos And Anggi Marito.

Apa yang menarik, buat kali pertama azan Isyak berkumandang memenuhi atmosfera lokasi sebelum konsert bermula.

Ia juga seakan menghantar isyarat kepada penonton bahawa hiburan tidak semestinya melalaikan.

Malah, bapa kepada tiga cahaya mata itu turut menjadikan konsert untuk menyebarkan dakwah dengan mengajak penonton lelaki menunaikan solat subuh secara berjemaah di masjid.

"Kalau anda anak lelaki, bangun subuh dan tunaikan solat di masjid. Saya juga nak beritahu kepada gadis yang masih 'single', sebenarnya paling baik cari jodoh di masjid.

"Itulah namanya mendirikan masjid. Jadi, saya nak tanya, 'boyfriend anda solat subuh di masjid tak? Kalau tak, 'red flag' (petanda buruk).

"Solat subuh di masjid kena masuk dalam kriteria cari jodoh," ungkap Alif selamba sambil disambut dengan sorakan penonton.

Menerusi konsert berdurasi lebih dua jam itu, Alif membuka tirai persembahan dengan lagu hit iaitu Akhiri Penantianku dan Cukup Indah, sekali gus membuatkan penonton bertindak seperti penyanyi latar.

Anggun mengenakan gaun labuh rona merah, Anggi mendendangkan tujuh lagu popularnya. - NSTP/Asyraf Hamzah
Anggun mengenakan gaun labuh rona merah, Anggi mendendangkan tujuh lagu popularnya. - NSTP/Asyraf Hamzah

Repertoire persembahan terisi dengan dendangan popular seperti I Want You To Love Me, Sesungguhnya Aku, Jangan Nakal dan Anugerah Terindah diikuti lagu yang jarang dinyanyikan Alif dalam mana-mana persembahan berjudul Nyonya Jakarta.

Pengalaman sebagai pengacara nyata memberi kelebihan kepada pelakon drama rantaian, Bukan Sekadar Lafaz itu untuk membuat penonton terhibur menyaksikan persembahannya.

Sepanjang konsert berlangsung, ada sahaja celoteh Alif yang membuatkan penonton tidak kering gusi mendengarnya.

Antara kisah lucu dikongsi Alif adalah mengenai ciapan dibuat di platform X mengenai lirik lagu Lelaki Seperti Aku.

"Ada yang bising cakap kalau Alif tak suka wanita itu, kenapa dalam lirik lagu Alif panggil 'baby'.

"Kalau dah namanya 'baby', nak panggil apa, mestilah panggil baby," ujar Alif yang tampil bergaya mengenakan jaket dan celana denim hitam pada malam itu.

Keistimewaan konsert ini juga banyak dibantu kehandalan bermain muzik anggota kumpulan The Locos iaitu Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Faliq Auri (saksofon) dan Rajwan Juni (dram) yang mampu melahirkan bunyi-bunyian sakti hingga penonton turut sama bergoyang tatkala melihat mereka beraksi.

Puas berhibur dengan lagu popularnya, konsert malam itu diteruskan dengan persembahan paduan suara antara Alif dan kumpulan Raihan menyampaikan Iman Mutiara, Sesungguhnya 2019 serta Puji-Pujian dan Syukur yang disampaikan medley.

Terasa damai jiwa saat mendengar Alif bersama trio kegemarannya itu melantunkan lagu-lagu bercorak kerohanian yang menjadi pengisian konsert anjuran bersama Mutiara Optimum Sdn Bhd dan MND Sport & Event Sdn Bhd itu.

Sebelum ini, Alif Satar & The Locos yang pernah dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 menerusi lagu Anugerah Terindah pernah menjayakan konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di pentas ikonik, Dewan Filharmonik Petronas (DFP), tahun lalu.

Terdahulu, penonton turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi undangan yang cukup popular menerusi lagu Tak Segampang Itu, Anggi Marito.

Anggun mengenakan gaun labuh rona merah, Anggi mendendangkan tujuh lagu termasuk medley lagu popularnya.

Berita Harian X