Rabu, 10 Januari 2024 | 12:53pm
Shiera minta Aman berhenti meminta memandangkan situasi sudah berlanjutan selama tiga tahun.
Shiera minta Aman berhenti meminta memandangkan situasi sudah berlanjutan selama tiga tahun.

Aman Graseka mengaku hidup susah, tiga tahun minta bantuan rakan artis - Shiera

KUALA LUMPUR: "Di mana Aman Graseka, sila jelaskan?," demikian permintaan penyampai radio, Sharifah Shahirah kepada pelakon popular era 1990-an, Aman Graseka yang dipercayai memohon bantuan kewangan daripada rakan artis, baru-baru ini.

Sebelum ini, Shahirah atau lebih mesra disapa Shiera membuat perkongsian dalam Instagram (IG) mengenai kesusahan menimpa Aman.

Shiera meminta bantuan agar pelakon senior tersebut tidak lagi meminta wang daripada rakan industri seni.

Bagaimanapun, pengikut dalam laman sosial dan ramai rakan artis yang menyuarakan kebimbangan atas kesahihan berita berkenaan.

Justeru, Shiera memohon Aman tampil menjelaskan situasi sebenar.

"Kalau tidak pun, sekurang-kurangnya sila cakap terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana membantu.

"Baru-baru ini, Aman cakap sudah-sudahlah Kak Shiera bercakap soal ini, jadi mengaku sahajalah dan minta maaf.

"Sekarang orang kata saya bodoh sebab percaya kepada 'scammer'. Kalau kena 'scam' pun, sila jelaskanlah. Mungkin juga dia dikenakan ejen seperti orang jual tisu.

"Tapi, saya percaya Aman orang yang baik. Ramai rakan artis menelefon saya mengadu mengenai soal ini.

"Ada yang berkata situasi ini sudah berlanjutan selama tiga tahun. Jadi, saya suarakan kepada Aman untuk berhenti meminta.

"Saya kata kalau buat lagi, saya laporkan pada polis, jadi dia kata tak nak buat sebab polis boleh tengok maklumat terperinci," katanya kepada BH Online.

Shiera muat naik tangkap layar mesej Aman memohon bantuan bagi memberi anak-anaknya makan. - Foto IG Sharifah Shahirah
Shiera muat naik tangkap layar mesej Aman memohon bantuan bagi memberi anak-anaknya makan. - Foto IG Sharifah Shahirah

Tambah Shiera, Aman sendiri mengaku dengannya dan minta jangan kecoh dan memperbesarkan isu ini.

"Saya cakap jangan buat lagi dan dalam dua tiga hari ini, Aman senyap. Kalau boleh saya pun tidak mahu besarkan soal ini," katanya.

Berikutan itu, Shiera memohon pihak Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk siasat mengenai perkara ini dan mungkin boleh mengadakan lawatan bagi meninjau keadaan terkini Aman.

"Mungkin ada artis yang tertekan, tapi kita tak tahu. Saya mohon SENIMAN siasat.

"Mengenali Aman, dia tidak pernah begitu, tapi agak pelik selepas berkahwin kali kedua.

"Mungkin Aman berdepan kesukaran hidup selepas berkeluarga," katanya.

Sebelum ini, Shiera ada memuat naik tangkap layar mesej Aman memohon bantuan bagi memberi anak-anaknya makan.

"Semoga pagi Jumaat ini ada rezeki anak-anak hamba nak buat makan," tulis teks berkenaan.

Berita Harian X