Rabu, 10 Januari 2024 | 11:00am
Fasha dan Aidil enggan menghiraukan komen negatif, sebaliknya meneruskan kehidupan seperti biasa demi kegembiraan dalam rumah tangga. - Foto IG Fasha Sandha
Fasha dan Aidil enggan menghiraukan komen negatif, sebaliknya meneruskan kehidupan seperti biasa demi kegembiraan dalam rumah tangga. - Foto IG Fasha Sandha

Aksi manja Fasha, Aidil beri pengaruh negatif kepada generasi muda?

KUALA LUMPUR: Pelakon Fasha Sandha, 39, menyedari aksi bermanja dan romantik bersama suami yang juga pelakon, Aidil Aziz mengundang kecaman ramai dalam media sosial.

Malah, ada mendakwa Fasha dan Aidil memberikan pengaruh negatif kepada pengikut terutama generasi muda.

Ada juga meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pasangan selebriti itu dan mengaitkan imej tudung labuh ibu Aidil tidak bersesuaian dengan karakter anak menantu.

Bagaimanapun, Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan berkata, dia memilih tidak menghiraukan komen negatif dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Kami memilih tak tahu sahaja kerana apa yang penting, kegembiraan diri sendiri. Saya percaya kami tidak perlu ikut apa yang orang nak cakap.

"Kadang-kadang kalau kami buat baik pun orang tetap tidak suka atau memandang serong, jadi lebih baik buat apa saja yang kami suka.

"Apapun, pokok pangkalnya adalah hati. Sebab itu, kami memilih buat tidak tahu kerana kita tidak boleh menutup mulut orang.

"Orang ramai ada hak untuk berkata apa sahaja. Sebagai manusia yang banyak kelemahan, saya rasa lebih baik kita hanya berdiam diri," katanya kepada BH Online.

Fasha tak pernah berhadapan dengan situasi pelakon baharu tidak berdisiplin, sebaliknya kebanyakannya tepati masa dan jaga disiplin. - Foto IG Fasha Sandha
Fasha tak pernah berhadapan dengan situasi pelakon baharu tidak berdisiplin, sebaliknya kebanyakannya tepati masa dan jaga disiplin. - Foto IG Fasha Sandha

Biarpun dilemparkan kecaman, ibu kepada tiga cahaya mata itu bersyukur keluarga mengenali hati dan niat baik dalam menjayakan tanggungjawab.

"Keluarga percayakan kami, jadi tiada masalah. Orang luar boleh cakap apa yang mereka nak cakap. Apa yang penting, kami gembira dan bahagia, nak cakap apa cakaplah. Kalau cakap keterlaluan, bimbang mereka terkena balik," katanya.

Terdahulu, pasangan serasi ini ditemui pada majlis penghargaan, doa selamat dan kesyukuran diadakan mereka bersama adiknya yang juga pelakon, Elisya Sandha di Cyberjaya, baru-baru ini.

Mengulas kemunculan pelakon baharu, Fasha mengakui, dia baik-baik sahaja bekerjasama dan tidak pernah berhadapan dengan artis yang tidak berdisiplin.

"Saya lihat mereka semua okay dan baik. Semua boleh tepati masa dan kebanyakannya menjaga disiplin.

"Ia satu perkembangan sangat bagus, sebab sudah tiada lagi pelakon baharu datang lambat ke lokasi, jadi mudahlah bekerjasama," katanya.

Ditanya mengenai luahan segelintir pelakon berpengalaman yang kurang selesa dengan pelakon baharu yang datang ke lokasi penggambaran lebih sibuk melakukan kerja lain seperti mempromosikan produk dan hasilkan kandungan dalam media sosial, Fasha berkata, dia juga tak pernah berhadapan dengan situasi itu.

"Tak tahulah sebab tak pernah terjadi di depan saya. Setakat ini, pelakon baharu yang pernah bekerja beri tumpuan kepada kerja," katanya.

Berita Harian X