Selasa, 9 Januari 2024 | 8:10pm
Ong (tengah) bersama bintang utama Abang Adik, Jack Tan (kiri) dan Wu Kang Ren (kanan) meraikan kejayaan bersama. - NSTP/Sadiq Sani
Ong (tengah) bersama bintang utama Abang Adik, Jack Tan (kiri) dan Wu Kang Ren (kanan) meraikan kejayaan bersama. - NSTP/Sadiq Sani

Abang Adik kutip RM13.5 juta di Taiwan

KUALA LUMPUR: Filem sulung arahan sutradara kelahiran Taiping, Perak, Jin Ong berjudul Abang Adik sekali lagi mencipta kejayaan tersendiri apabila mencatat kutipan RM5.2 juta selama 24 hari tayangan sejak 6 Januari lalu.

Tidak hanya itu, Abang Adik juga berjaya melakar sejarah sebagai filem Malaysia pertama yang memecahkan rekod tayangan di Taiwan dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM13.5 juta selama tiga minggu tayangan.

"Ini adalah perjalanan mengagumkan, saya tak pernah membayangkan semua ini. Saya gembira dengan kejayaan dan berterima kasih kepada pasukan produksi kerana bersungguh-sungguh menjayakan filem ini.

"Kami berbesar hati untuk berkongsi keterujaan dengan kutipan sebanyak RM13.5 juta diperoleh filem Abang Adik di Taiwan, sekali gus menjadi filem pertama Malaysia memegang rekod berkenaan.

"Lebih membahagiakan kejayaan dan sejarah yang dicipta di Taiwan sudah berjaya bersambung hingga ke Malaysia. Pencapaian diperoleh di Malaysia menjadi pembuka 2024 yang sangat manis, terima kasih semua.

"Dengan perolehan cukup memberangsangkan ini juga kami berharap agar penonton terus menyokong pembikinan filem Malaysia lain. Semoga filem Malaysia terus bersemarak dan membuka mata dunia mengenai kehebatan karyawan seni tempatan," katanya kepada BH Online.

Ong ditemui pada majlis penghargaan filem Abang Adik di Golden Screen Cinemas (GSC) Lalaport, di sini, petang tadi.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman berkata, penceritaan yang baik adalah antara tarikan utama Abang Adik.

"Penceritaan sangat penting dalam sesebuah karya. Abang Adik bukan filem mengenai individu tetapi naskhah mengenai Malaysia.

"Saya kagum filem ini dapat sambutan hebat. Cabaran kita untuk hasilkan lebih banyak karya lebih bagus.

"Secara peribadi, filem ini menggunakan teknik kamera sangat bagus dan pengarah membiarkan penonton masuk dalam emosi setiap karakter," katanya.

Ong (kanan) bersama barisan pelakon pada majlis penghargaan filem Abang Adik di Golden Screen Cinemas (GSC) Lalaport, di sini, petang tadi. - NSTP/Sadiq Sani
Ong (kanan) bersama barisan pelakon pada majlis penghargaan filem Abang Adik di Golden Screen Cinemas (GSC) Lalaport, di sini, petang tadi. - NSTP/Sadiq Sani

Ong bersama seluruh produksi filem terbitan More Entertainment Sdn Bhd bersama New Century Southward Development Co Ltd dan edaran mm2 Entertainment itu terus cemerlang mencipta sejarah bersama Abang Adik.

Mengangkat kehidupan dua anak yatim piatu lakonan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren, Abang Adik tidak memerlukan lebih daripada keaslian dan keunikan naratifnya untuk dijulang dalam pelbagai festival filem dan anugerah di seluruh dunia.

Sepanjang ditayangkan di festival di luar negara, Abang Adik sudah menerima pengiktirafan dunia apabila mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April tahun lalu.

Naskhah ini malah berjaya membawa pulang trofi Golden Mulberry dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik.

Kang Ren juga dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem itu.

Abang Adik mengisahkan dua lelaki tanpa dokumen mengharungi kehidupan miskin di Malaysia, selain menjadi filem tempatan yang menggambarkan kehidupan di sebuah sudut tersembunyi di Kuala Lumpur.

Mereka hidup tanpa dokumen dan tinggal di Pudu, Kuala Lumpur iaitu kawasan yang terkenal dengan pasar basah.

Berita Harian X