Selasa, 9 Januari 2024 | 3:01pm
Sivakumaran (dua dari kanan) bersama barisan penyanyi yang bakal tampil dalam Pesta Muzik Kuantan. - NSTP/Rohanis Shukri
Sivakumaran (dua dari kanan) bersama barisan penyanyi yang bakal tampil dalam Pesta Muzik Kuantan. - NSTP/Rohanis Shukri

Kekangan bajet faktor tak undang Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Penganjur Pesta Muzik Kuantan, Showpro Entertainment Sdn Bhd sedang mempertimbangkan mengundang penyanyi tersohor yang juga anak kelahiran Pahang, Datuk Seri Siti Nurhaliza memeriahkan Pesta Muzik Kuantan di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang pada 24 Februari ini.

Penganjur, Datuk Dr Sivakumaran Nair, berkata konsert itu dianjurkan sempena menyambut kepulangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat pemerintahan pada penghujung bulan ini.

Mengulas ketiadaan penyanyi kelahiran Pahang, sebaliknya band popular dari Indonesia, Ungu ditampilkan sebagai penghibur utama, Sivakumaran berkata, kekangan bajet antara faktor Siti Nurhaliza tidak dapat diundang.

Katanya, Siti Nurhaliza adalah ikon Malaysia dan bintang, jadi tidak mampu mengundang penyanyi tersohor itu.

Namun, Sivakumaran menafikan bajet membawa Ungu juga bukanlah murah, tetapi mengambil kira kos secara keseluruhan.

"Terus terang, kami mengambil kira faktor kos secara keseluruhan. Tiket ditawarkan harga Rahmah dengan serendah RM58.

"Jadi, adakah dengan harga tiket ditawarkan mampu membawa Siti Nurhaliza berada atas pentas? Ungu juga bukanlah kos murah," katanya yang ditemui pada majlis sidang Pesta Muzik Kuantan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Sivakumaran tidak menolak kemungkinan mengundang Siti Nurhaliza sebagai penyanyi undangan pada acara itu.

"Kami sedang mempertimbangkan mengundang Siti Nurhaliza, mungkin sebagai jemputan khas seperti kemunculannya dalam konsert maestro muzik terkenal India, AR Rahman, tahun lalu," katanya.

Sivakuraman berkata, penganjuran Pesta Muzik Kuantan bagi memberi peluang kepada penduduk Pantai Timur menikmati kemeriahan konsert seperti warga Lembah Klang.

Ungu ditampilkan sebagai penghibur utama dalam Pesta Muzik Kuantan di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang pada 24 Februari ini. -NSTP/Aziah Azmee
Ungu ditampilkan sebagai penghibur utama dalam Pesta Muzik Kuantan di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang pada 24 Februari ini. -NSTP/Aziah Azmee

Malah, katanya, harga Rahmah juga ditawarkan agar lebih ramai terutama golongan muda dapat hadir dalam acara yang akan bermula dari pagi dengan pelbagai aktiviti menarik.

"Kami berasakan Kuantan memerlukan satu acara istimewa kerana banyak konsert dianjurkan di Kuala Lumpur.

"Jadi, apa salahnya kami bawakan satu band yang terkenal dan barisan artis tanah air ke Kuantan.

"Kami nak menggembirakan hati golongan muda sebab itu kami tawarkan tiket harga Rahmah," katanya.

Selain Ungu, antara artis lain yang akan turut memeriahkan konsert termasuklah Khai Bahar, Naim Daniel, Nabila Razali, Ara Johari, Eda Ezrin dan Den Manjo.

Bagi Ungu, mereka tidak sabar bertemu peminat di Kuantan dan itu adalah kunjungan pertama di luar Kuala Lumpur.

Bakal menghiburkan peminat dengan lebih 15 lagu, vokalis Ungu, Pasha berkata, mereka akan menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu hits.

"Ini menjadi pengalaman pertama Ungu mengadakan persembahan di Kuantan.

"Peminat tidak dapat datang menyaksikan konsert Ungu di Mega Star

Arena, Kuala Lumpur bolehlah datang ke Kuantan.

"Ungu akan memberikan persembahan unik dan berusaha menyanyikan lagu yang disukai," katanya menerusi temubual secara virtual.

Berita Harian X