Selasa, 9 Januari 2024 | 1:01pm
Artis pelbagai generasi, Nadeera (kiri), Ernie, Jay Jay dan Rahmat bakal menjayakan konsert ibarat serampang dua mata, berhibur sambil beramal. - NSTP/Rohanis Shukri
Artis pelbagai generasi, Nadeera (kiri), Ernie, Jay Jay dan Rahmat bakal menjayakan konsert ibarat serampang dua mata, berhibur sambil beramal. - NSTP/Rohanis Shukri

Konsert cari dana bantu pembangunan Palestin

KUALA LUMPUR: Konflik peperangan di Tebing Gaza sejak Oktober tahun lalu memberi kesan bukan sahaja rakyat dalam negara, malah seluruh dunia.

Susulan kekejaman dilakukan tentera Israel itu, banyak nyawa tidak berdosa terkorban.

Lebih memilukan, krisis itu juga menyebabkan bumi Palestin musnah dan rakyatnya menderita kerana hidup dalam serba kekurangan.

Sebagai tanda solidariti dan bersimpati terhadap nasib rakyat Palestin, syarikat pengurusan acara, CS Excellent tampil menganjurkan persembahan Voice Of The Heart Concert yang objektifnya untuk menghulur bantuan dan meringankan beban dihadapi.

Konsert bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Mac ini menampilkan barisan penyanyi hebat seperti Jay Jay, Rahmad Mega, Ernie Zakri dan Nadeera.

Mengulas lanjut pembikinan konsert, Pengarah Urusan CS Excellent, Marinatasha Mustapar, berkata konsert itu ibarat serampang dua mata kerana penonton boleh berhibur sambil beramal.

"Matlamat utama penganjuran konsert untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada tiga pertubuhan amal terpilih, termasuk Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CG).

"Antara bantuan akan disalurkan dari segi makanan, tempat tinggal, perubatan dan infrastruktur.

"Dua persatuan lain yang turut terima sumbangan adalah Persatuan Artis Veteran Malaysia dan Pertubuhan Limpahan Kasih (Anak-Anak Yatim dan Asnaf).

"Mereka juga turut melalui fasa kesukaran sama. Jadi, kami tidak mahu melupakan mereka dan dengan adanya persembahan amal ini sedikit sebanyak dapat membantu dan berkongsi rezeki," katanya kepada BH Online.

Marinatasha (tengah) bersama barisan penyanyi yang bakal menjayakan Voice Of The Heart Concert di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Mac ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Marinatasha (tengah) bersama barisan penyanyi yang bakal menjayakan Voice Of The Heart Concert di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Mac ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Berkongsi pemilihan artis yang bakal menjayakan konsert, Marinatasha memaklumkan selain faktor populariti, penyanyi yang tersenarai juga mewakili generasi masing-masing.

"Sebelum ini, ada ramai artis yang diundang, tetapi hanya ini sahaja mempunyai kelapangan. Mereka juga berminat terbabit dalam konsert berhibur sambil beramal ini.

"Keistimewaan konsert ini adalah mereka yang terpilih mempunyai ramai peminat dan mewakili generasi masing-masing.

"Jay Jay mewakili generasi 1970-an dan 1980-an, Rahmad mewakili generasi 1990-an, manakala Ernie dan Nadeera mewakili penyanyi era ini.

"Dari segi persembahan, penganjur menetapkan konsep diketengahkan menerusi lagu berkisar kepada perjuangan dan kedamaian selaras dengan tujuan persembahan ini.

"Selain lagu popular, barisan penyanyi juga akan menyampaikan beberapa lagu ditujukan khas buat Palestin dalam persembahan istimewa," katanya ketika ditemui pada sidang media Voice Of The Heart yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

Ditanya apakah strategi dilaksanakan memandangkan pelbagai konsert turut dianjurkan pada bulan sama, Marinatasha berkata, selain giat menjalankan promosi, kelainan disajikan mampu menarik penonton.

"Kami yakin dengan barisan artis yang ada dan konsep yang diketengahkan, mampu mendapat sambutan.

"Selain itu, kami juga akan menyusun beberapa strategi untuk mempromosikan konsert ini.

"Justeru, kami turut mengalu-alukan kepada badan korporat dan orang perseorangan jika mahu menaja atau memberikan sumbangan," katanya.

Penganjuran konsert ini turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Digital Persembahan Muzik.

Berita Harian X