Selasa, 9 Januari 2024 | 8:31am
Khalil (lima dari kiri) dan Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki bersama peserta program Pentauliahan Profesional Bidang Produksi, baru-baru ini. - Foto Facebook Khalil Saleh
Khalil (lima dari kiri) dan Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki bersama peserta program Pentauliahan Profesional Bidang Produksi, baru-baru ini. - Foto Facebook Khalil Saleh

PROFIMA, pensyarah kongsi kemahiran kerja produksi

KUALA LUMPUR: Dalam usaha melahirkan graduan berkualiti dan inovatif seiring piawaian industri, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) berkolaborasi dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengelolakan program Pentauliahan Profesional Bidang Produksi.

Program Pendidikan Jangka Sederhana selama tıga bulan yang berlangsung antara 1 Oktober 2023 hingga 3 Januari lalu turut membabitkan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Presiden PROFIMA, Khalil Saleh, berkata objektif penganjuran program bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi ke tahap lebih tinggi seiring dengan keperluan semasa dan teknologi.

"Program ini membabitkan 15 pensyarah dari politeknik dan Kolej Komuniti. Objektif kami berkongsi kemahiran dengan tenaga pengajar agar dapat dimanfaatkan untuk pelajar, selain tidak berlaku jurang besar antara akademi dan praktikal.

"Kami memiliki pengetahuan secara praktikal, jadi rasanya tidak salah berkongsi kemahiran. Pensyarah pula hanya tahu teori, jadi program ini sangat berguna untuk memberi gambaran lebih jelas mengenai industri hiburan.

"Sebelum program dilaksanakan, kami dikehendaki oleh UUM untuk membina modul. Kami hasilkan 11 daripada 17 modul sepanjang kursus ini.

"Sebagai orang yang tidak mahir mengenai akademi, kami perlukan bimbingan dari UUM dalam membina modul.

"Dari situ barulah kami boleh nampak keperluan penambahbaikan," katanya kepada BH Online.

Pasukan PROFIMA berkongsi kemahiran dengan tenaga pengajar agar dapat dimanfaatkan untuk pelajar, selain tidak berlaku jurang besar antara akademi dan praktikal. - Foto Facebook Khalil Saleh
Pasukan PROFIMA berkongsi kemahiran dengan tenaga pengajar agar dapat dimanfaatkan untuk pelajar, selain tidak berlaku jurang besar antara akademi dan praktikal. - Foto Facebook Khalil Saleh

Modul diajar sepanjang tiga bulan membabitkan tugasan penolong pengarah, pengurus produksi, solekan drama, filem dan kesan khas, lakonan, sinematografi, penata bunyi, penata cahaya, suntingan, penata seni, kostum dan penerbit.

Sepanjang program berlangsung, keutamaan PROFIMA adalah perkongsian pengalaman, latihan dan meletakkan hampir 80 peratus kepada pengisian amali di lapangan.

"Kami berkongsi ilmu, terutama pengalaman bekerja di lokasi penggambaran membabitkan 20 peratus teori, manakala 80 peratus lagi adalah praktikal," katanya.

Selain meningkatkan kemahiran dan keupayaan, program itu dapat meningkatkan perkongsian pengetahuan dan teknologi antara pensyarah politeknik, ahli akademik dan pengamal industri.

"Diharap program ini dapat menjadi platform melonjakkan industri seni dan kreatif pada masa hadapan dengan lahirnya graduan berkualiti dan inovatif seiring keperluan industri.

"Paling penting, gabungan pengamal industri dan akademik dapat didik pelajar yang bakal bekerja dalam industri.

"Alhamdulillah, setakat ini, kami mendapat maklum balas positif daripada peserta. Kami berharap ada lagi permintaan dari pusat pengajian tinggi untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.

"Hubungan antara pensyarah dan penggiat seni juga tidak akan terputus," katanya.

Berita Harian X