Isnin, 8 Januari 2024 | 4:51pm
Isma kini sudah mulakan urutan secara ringan untuk memulihkan penyakit strok.
Isma kini sudah mulakan urutan secara ringan untuk memulihkan penyakit strok.

Isma Aliff perlu urutan terapi pulihkan strok

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh era 1980-an, Isma Aliff sudah dibenarkan keluar dari Hospital Ampang, Jumaat lalu dan kini berada di kediaman ibunya di Ampang Jaya.

Isma, 59, dan ibunya berusia 79 tahun yang turut terlantar sakit, menerima dua katil sumbangan sebuah masjid dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bersimpati dengan mereka.

Isma berkata, dia masih tidak boleh makan secara normal dan bergantung kepada susu yang disalurkan menerusi tiub.

"Saya belum boleh makan nasi dan hanya bergantung kepada susu khas yang berharga lebih RM100. Jadi tenaga saya masih belum ada.

"Saya sudah mulakan urutan secara ringan. Insya-Allah dengan urutan dan akupuntur mungkin keadaan saya akan bertambah baik," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, adiknya Shamsidah Ismail, 57, berkata, dia menguruskan abang dan emaknya termasuk menukar lampin pakai buang mereka setiap hari.

"Segala-galanya saya buat. Kadang-kadang kalau saya tak sempat, jiran akan datang bantu tengokkan," katanya.

Terdahulu, Isma dilaporkan kritikal dan ditidurkan selepas dikesan mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru.

Isma ditahan di hospital pada 15 Disember lalu kerana tiba-tiba diserang angin ahmar selepas mengadu sakit kepala selain badannya kebas.

Shamsidah mulanya membawanya ke klinik berhampiran, tetapi doktor nasihatkan agar membawa abangnya ke bahagian kecemasan Hospital Ampang dan kemudiannya, ditahan masuk hospital.

Berita Harian X