Isnin, 8 Januari 2024 | 4:26pm
Siti menyifatkan sambutan Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza adalah pencapaian luar biasa selepas hampir lima tahun tidak tampil dengan konsert solo di Axiata Arena. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Siti menyifatkan sambutan Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza adalah pencapaian luar biasa selepas hampir lima tahun tidak tampil dengan konsert solo di Axiata Arena. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Hampiri Ramadan, Siti mohon maaf tak tambah hari untuk konsert

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza memohon maaf kepada peminat yang tidak dapat membuat pembelian tiket Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 9 Mac depan.

Penyanyi nombor satu negara itu dalam ucapannya pada sidang media sempena konsert berkenaan turut memaklumkan, tiada penambahan hari dan tiket selepas mengambil kira pelbagai faktor.

"Saya mohon maaf kerana ramai yang tidak berjaya mendapatkan tiket. Saya juga tidak dapat menambah hari dan jualan tiket.

"Kalau tambah hari pada 10 Mac, itu sudah hampir masuk bulan Ramadan. Sekiranya 8 Mac pula, ia adalah hari terakhir saya membuat latihan.

"Saya dan pasukan sudah fikir masak-masak. Sudah cuba untuk pertimbangkan, jadi tak mungkin tambah hari.

"Jadi, saya harap untuk konsert seterusnya peminat akan lebih bersedia dan teruja. Seterusnya, saya akan pertimbangkan untuk anjurkan konsert selama dua hari," katanya ketika berucap pada sidang media Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di The Face Suites, di sini, hari ini.

Siti menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Pengarah Rangkaian Kumpulan (Hot FM, Kool 101 dan Digital), Shah Hayatudin selaku stesen radio rasmi konsert. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Siti menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Pengarah Rangkaian Kumpulan (Hot FM, Kool 101 dan Digital), Shah Hayatudin selaku stesen radio rasmi konsert. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Bagaimanapun, Siti menyifatkan sambutan konsert anjuran Yayasan Nurjiwa dan dibawakan khas Cuckoo itu adalah pencapaian luar biasa selepas hampir lima tahun tidak tampil dengan konsert solo di lokasi berkenaan.

"Ini satu pencapaian luar jangkaan saya. Tanpa diduga sambutan sangat menggalakkan.

"Saya buat jualan tiket awal kerana bukan mudah penuhkan kapasiti 10,000 di Axiata Arena.

"Hampir lima tahun saya tak mengadakan konsert di lokasi berkenaan. Saya akui sambutan peminat yang berusaha mendapatkan tiket sangat luar biasa," katanya.

Pada masa sama, Siti memaklumkan penyanyi popular dari Indonesia, Judika akan menjadi penyanyi undangan pada konsert berkenaan.

"Saya akan mengundang penyanyi dari Indonesia yang juga sahabat saya, Judika," katanya.

Tambah Siti, sebahagian jualan tiket Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza akan disalurkan kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu rakyat Palestin.

Pada 21 Disember lalu, tiket Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza berharga serendah RM129 hingga RM799, 'licin' disapu peminat dalam tempoh dua jam selepas jualan dibuka pada jam 2 petang.

Kali terakhir Siti menganjurkan konsert solo di Axiata Arena pada 2019 menerusi Siti Nurhaliza On Tour Malaysia.

Berita Harian X