Ahad, 7 Januari 2024 | 11:00am
Aina lakar sejarah dengan meraih pelbagai pencapaian peribadi, malah memberikan warna kepada industri hiburan menerusi kontroversi dicipta. - Foto IG Aina Abdul
Aina lakar sejarah dengan meraih pelbagai pencapaian peribadi, malah memberikan warna kepada industri hiburan menerusi kontroversi dicipta. - Foto IG Aina Abdul

'Keringat 12 purnama'

KUALA LUMPUR: Menyelak helaian 'resume' milik penyanyi dan komposer, Aina Abdul, tidak syak lagi gelaran artis paling sensasi 2023 sememangnya layak diberikan kepadanya.

Sepanjang 12 purnama mencurah keringat dalam dunia seni, penyanyi lagu Sumpah dan Terus Hidup itu bukan sahaja melakar sejarah dengan meraih pelbagai pencapaian peribadi, bahkan memberikan warna kepada dunia hiburan menerusi kontroversi yang diciptanya.

Seiring dengan bakat dan kreativiti dalam menghasilkan untaian indah, pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani ini juga tidak pernah sunyi menjadi bahan perdebatan netizen yang tidak senang dengan imej dan fesyen unik serta pelik digayakan setiap kali muncul dalam acara hiburan.

Meskipun terharu pengiktirafan diberikan, namun bagi Aina gelaran artis sensasi 2023 agak terlalu awal untuk dirinya, apatah lagi, disifatkan masih hijau serta belum cukup berpengalaman.

"Saya tak rasa diri layak terima gelaran artis paling sensasi kerana masih baru dan banyak benda atau ranjau yang kena tempuhi sebelum dapat pengiktirafan.

"Namun, jika media, netizen atau sesiapa sahaja anggap saya layak menggalas gelaran ini, saya sangat bersyukur. Ini kerana saya hanya cuba yang terbaik.

"Bagaimanapun, saya sedar kekurangan diri dan akan cuba memperbaikinya kerana banyak perkara yang ingin dicapai untuk tahun depan," katanya kepada BH Online.

Antara kejayaan manis digapai penyanyi bervokal mantap ini apabila lagu ciptaannya, Terus Hidup mengungguli trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 yang sememangnya didambakan.

2023 juga menyaksikan Aina mencatat rekod peribadi apabila muncul dengan konsert solo berskala besar yang diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada November lalu dan muncul dengan album sulung berjudul Imaji.

"Kemenangan AJL 37 menerusi lagu Terus Hidup awal tahun ini adalah satu pencapaian paling cemerlang buat saya.

"Sepanjang bergiat aktif dalam bidang nyanyian, trofi ini sesuatu yang amat saya dambakan. Semua ini takkan berlaku tanpa doa ibu.

"Saya berharap dapat mengulang kejayaan sama pada tahun depan, insya-Allah," luah pemilik vokal mantap ini.

Aina berharap kemanisan dikecapi sepanjang 2023 terus berpanjangan. - Foto IG Aina Abdul
Aina berharap kemanisan dikecapi sepanjang 2023 terus berpanjangan. - Foto IG Aina Abdul

Mengenai dirinya yang sering terpalit dengan kontroversi hingga dikecam teruk dalam media sosial, penyanyi kelahiran Johor Bahru, Johor itu bersikap terbuka dengan kritikan ataupun teguran.

"Saya terima setiap teguran dan percaya semua orang ada pandangan masing-masing. Ada yang baik dan ada juga sebaliknya.

"Tapi, saya pasti peminat akan rindu jika penampilan saya terlalu sederhana. Oleh itu, saya akan lakukan apa yang terbaik untuk diri saya dan peminat.

"Apa yang penting, kriteria Aina Abdul tetap ditonjolkan. Saya sebenarnya terlalu penat terima kecaman.

"Jujurnya, banyak yang saya belajar tahun ini dan antara yang penting bagaimana mahu memperbaiki cara berkomunikasi," ungkapnya.

Optimis sinar yang ditempuhinya untuk tahun baharu, Aina mengharapkan kemanisan dikecapinya terus berpanjangan.

"2022 adalah tahun saya mencuba, manakala 2023 untuk merealisasikan dan kembangkan apa yang diimpikan termasuklah penganjuran konsert besar serta menyiapkan album.

"Saya berharap kemanisan dikecapi akan berpanjangan. Semoga album Imaji akan terus berkembang dengan siri konsert jelajah yang bakal diadakan nanti.

"Doakan semoga semua urusan saya berjalan lancar," kata Aina yang bari selesai beraksi dalam Konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore di The Theatre at Mediacorp, semalam.

Berita Harian X