Sabtu, 6 Januari 2024 | 12:01pm
Ketika Ernie raikan kejayaan lagu Astana, Syamel akur lagu Bahagia Milik Kita tiada rezeki melangkah ke AJL 38. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ketika Ernie raikan kejayaan lagu Astana, Syamel akur lagu Bahagia Milik Kita tiada rezeki melangkah ke AJL 38. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Syamel lega kemelut Ernie, Astana berakhir

KUALA LUMPUR: Suami mana mampu menahan perasaan melihat si isteri dalam dilema antara mahu mengejar impian dan berdepan halangan membantutkan hasratnya itu.

Penyanyi bersuara lunak, Syamel menyifatkan kontroversi membabitkan lagu Astana nyanyian Ernie Zakri pada peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-38 (SFMM 38) yang tercetus bulan lalu menimbulkan rasa simpati terhadap situasi dihadapi isterinya itu.

Sebagai suami, pemilik nama lengkap Syameel Aqmal Mohd Fozdly itu berkata, menjadi tugasnya memastikan Ernie tidak terus beremosi dan mencari jalan penyelesaian bersama.

"Dalam situasi ini, Syamel memakai dua topi iaitu suami dan rakan industri. Sebagai suami, Syamel simpati dengan apa yang berlaku kerana Syamel tahu Ernie hanya ingin menyanyi.

"Bagaimanapun, sebagai rakan industri, Syamel juga faham situasi yang berlaku sehingga menimbulkan dilema.

"Mungkin ramai tak tahu, kami lebih selesa mencari jalan penyelesaian secara cermat dan berbincang dengan harapan kemelut yang terjadi menemui titik tengah.

"Alhamdulillah, akhirnya selesai dan saya tumpang gembira apabila Ernie dapat menyanyikan lagu Astana di SFMM 38, seterusnya berjaya ke Anugerah Juara Lagu (AJL)," katanya kepada BH Online.

Ketika isterinya meraikan kejayaan lagu Astana, Syamel yang turut bersaing terpaksa akur lagu ciptaannya, Bahagia Milik Kita tiada rezeki untuk melangkah ke AJL 38.

Meskipun kecewa, Syamel tidak mahu terlalu beremosi dan percaya gilirannya akan tiba suatu masa nanti.

"Tipulah kalau saya tak kecewa kerana kali terakhir bertanding di AJL 33 menerusi lagu Kau Pun Sama.

"Bagaimanapun, saya tak mahu layan sangat perasaan kecewa kerana sedikit sebanyak akan mengganggu perasaan Ernie sepanjang menuju malam kemuncak AJL 38.

"Jadi saya positif dan mungkin lagu Bahagia Milik Kita berada di kedudukan ke-13 (ketawa).

"Belum rezeki dan situasi ini tidak akan mematahkan semangat untuk terus berusaha," ungkap Syamel yang baru muncul dengan single berjudul Di Sebalik Tabir.

Sementara itu, Ernie meluahkan rasa syukur apabila kontroversi membabitkan lagu Astana selesai.

"Alhamdulillah, kes sudah selesai dan Astana layak ke AJL 38. Saya bersyukur kerana apa yang berlaku lebih kepada perjuangan peminat. Mereka inilah yang begitu teringin melihat saya beraksi di pentas AJL.

"Mereka juga yang mengundi lagu Astana dan baru saya rasa begini jika disayangi peminat. Ramai yang sudah faham di sebalik apa yang berlaku dan tak perlu saya ulas lagi," ujarnya.

Ernie dan Syamel menghiburkan kakitangan Jabatan Pengarang BH pada majlis makan malam di Hotel Wyndham Grand Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ernie dan Syamel menghiburkan kakitangan Jabatan Pengarang BH pada majlis makan malam di Hotel Wyndham Grand Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Diusik pertanyaan adakah gesaan tidak menarik diri dan menyanyikan lagu Astana kerana tidak mahu penyanyi Aina Abdul dilihat sebagai 'musuh tradisi' dalam acara berprestij menang mudah terutama kategori Vokal Terbaik, Ernie enggan mendabik dada dan percaya masih ramai penyanyi hebat yang turut bersaing dalam AJL 38.

"Kita ada 11 lagi penyanyi lagi dahsyat yang saya kena hadap selain Aina. Antaranya, Aisha Retno dan Shiha Zikir. Semua ini bergantung dengan rezeki Alah dan sebagai penyanyi, saya hanya bersedia dari segi fizikal dan mental.

"Jujurnya, saya ada misi lain yang ingin dicapai. Memandangkan saya adalah komposer lagu Astana, sudah tentu saya teringin juga nak menang kategori lagu dan bukan sekadar vokal semata-mata.

"Aina pernah menang, jadi saya nak juga menang," katanya.

Sebelum ini, kecoh apabila lagu Astana ciptaan Ernie bersama Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman yang dicalonkan dalam SFMM 38 digantikan penyanyi Nadeera.

Selepas isu tular dan peminat mendesak bekas syarikat rakaman yang dinaungi Ernie iaitu Rocketfuel Entertainment memberi penjelasan.

Mereka mendakwa Ernie memutuskan tidak menyanyikan lagu berkenaan dalam SFMM 38.

Bagaimanapun, Ernie mendakwa tidak tahu apabila namanya digugurkan ketika pengumuman 30 lagu yang layak ke SFMM 38, baru-baru ini.

Terdahulu, pasangan suami isteri popular ini menghiburkan kakitangan Jabatan Pengarang BH pada majlis makan malam di Hotel Wyndham Grand Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi persembahan itu, Syamel mendendangkan lagu Hidup Dalam Mati, manakala Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri memukau dengan lagu Dawai.

Persembahan mereka diakhiri dengan lagu yang pernah menjulang nama sebagai pemenang trofi Vokal Terbaik, AJL 32 berjudul Aku Cinta.

Berita Harian X