Jumaat, 5 Januari 2024 | 3:01pm
Barisan pelakon dan tenaga kreatif filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah pada tayangan perdana di GSC IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Barisan pelakon dan tenaga kreatif filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah pada tayangan perdana di GSC IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

Angkat kisah tidak diceritakan

KUALA LUMPUR: Bukan mudah menghasilkan filem sejarah, terutama membabitkan tokoh pejuang terbilang. Jika tidak dibuat kajian terperinci, silap percaturan, karya dipertaruhkan boleh memakan diri.

Berpegang teguh prinsip itu, penulis skrip filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Shahruddin Mt Dali memberitahu, banyak kajian dibuat termasuk bertemu waris dan penduduk tempatan bagi mendapatkan penceritaan menarik setiap karakter dipaparkan termasuk watak utama, Pendekar Awang.

"Kajian dibuat sebelum filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dihasilkan. Proses dikembangkan bagi menghasilkan naskhah prekuel ini.

"Saya turun ke kampung-kampung untuk berjumpa waris pejuang Melayu ini. Saya hendak bentangkan kisah 'untold story'.

"Jadi, saya hendak dengar daripada cucu cicit kisah yang belum pernah diketahui. Tidak mahulah sekadar paparkan apa yang sudah ada dalam buku kerana ramai yang sudah baca," katanya pada majlis tayangan perdana filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah terbitan Studio Kembara Sdn Bhd di Putrajaya, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Shahruddin dan Saiful Reza Shukor diumum sebagai pengarah bersama filem berkenaan oleh Penerbit merangkap Pengarah Urusan Studio Kembara Sdn Bhd, Abdul Rahman Mt Dali.

Biarpun filem ini diangkat daripada kisah benar, namun, tidak bermakna mereka perlu mengabaikan lesen kreatif.

Justeru, tambah Shahruddin, unsur fiksyen diterapkan bagi menjadikan pengkisahan filem lebih menarik.

"Kami juga merujuk kepada kajian pernah dibuat seorang tokoh sejarawan, tetapi, tidak semua diambil. Kalian semua kena faham, dalam filem ini, kami bukanlah pakar sejarah. Kami juga bukan buat dokumentari.

"Tetapi kami ambil sebahagian daripada kisah sebenar yang berlaku dan kembangkan untuk menjadikan naskhah ini lebih menarik. Itu tugas kami dalam industri kreatif ini.

"Apa yang penting, anak muda yang sudah menonton filem ini akan mula buat kajian mengenai watak dipaparkan," katanya.

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah ditunjangi menampilkan pasangan suami isteri, Fattah Amin dam Nur Fazura. - NSTP/Asyraf Hamzah
Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah ditunjangi menampilkan pasangan suami isteri, Fattah Amin dam Nur Fazura. - NSTP/Asyraf Hamzah

Filem ini berkisar perjalanan Tok Gajah dan pahlawan Melayu ke Terengganu untuk mendapatkan sokongan Sultan dan pahlawan Melayu di negeri itu. Peristiwa berlaku di Pahang, selepas pertempuran terakhir Mat Kilau di Kuala Tembeling, apabila British mengarahkan Kapten Syers menangkap Tok Gajah.

Shahruddin memberitahu, syarikat produksi sejak awal-awal lagi meminta keizinan waris tokoh pahlawan Melayu untuk mengabadikan kisah mereka dalam naskhah ini.

"Sejak filem Mat Kilau lagi, kita sudah minta kebenaran ahli keluarga. Tetapi bukanlah semua, sebab mereka terlalu ramai.

"Bagaimanapun, kami tetap hormati. Saya fikir apabila kami turun dan berjumpa orang kampung, itu sudah memadai. Kita sangat perlukan cerita daripada sumber lain

"Lagipun, cerita yang kami paparkan membawa mesej positif dan tidak mengaibkan sesiapa. Malah, saya percaya usaha ini memberi penghormatan kepada pejuang," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu, kos pembikinan filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah mencecah RM15 juta, termasuk bajet promosi.

"Tidak dinafikan ada pembaziran kerana kita perlu jalani penggambaran semula akibat pertukaran pengarah.

"Namun, saya harap, filem ini dapat meningkatkan semangat cintakan tanah air, hargai pejuang dan memberi inspirasi dalam kalangan anak muda," katanya.

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah ditunjangi pelakon handalan seperti Fattah Amin, Nur Fazura, Wan Hanafi Su, Nam Ron, Nadhir Nasar, Amir Ahnaf, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amerul Affendi dan Hasnol Rahmat.

Filem ini menemui penonton di pawagam mulai 11 Januari ini.

Berita Harian X