Jumaat, 5 Januari 2024 | 11:18am
Khai ralat tidak dapat berada di sisi arwah ibunya saat menghembuskan terakhir, Selasa lalu. - Foto IG Khai Bahar
Khai ralat tidak dapat berada di sisi arwah ibunya saat menghembuskan terakhir, Selasa lalu. - Foto IG Khai Bahar

Khai sempat bahagiakan arwah ibu, beli barangan kesukaan

KUALA LUMPUR: Penyanyi Khai Bahar bersyukur sempat membahagiakan arwah ibunya, Allahyarham Rosnah Muhammad, 62, walaupun ralat tidak dapat berada di sisinya saat menghembuskan terakhir, Selasa lalu.

Menerusi Instagram, Khai berkongsi, arwah ibunya suka sangat bunga, beg dan gelang.

"Dulu masa susah, mak teringin macam-macam, tapi duit tak ada. Alhamdulillah, sekarang ada rezeki lebih sempatlah bahagiakan mak walau sekejap.

"Itupun dia tak pernah minta benda mahal-mahal. Pernah beli gelang emas, beg mahal, dia tak pandai pakai. Dia suka beg RM10 kerana pelbagai warna dan corak, gelang pun suka yang RM15.

"Sehingga saya pernah borong banyak-banyak untuk menggembirakan mak," tulisnya.

Khai sempat pulang meraikan ulang tahun arwah ibunya, minggu lalu. - Foto IG Khai Bahar
Khai sempat pulang meraikan ulang tahun arwah ibunya, minggu lalu. - Foto IG Khai Bahar

Dalam pada itu, Khai berkongsi, dia mendapat berita duka pemergian arwah ibunya ketika bercuti di Langkawi.

"Baru minggu lepas balik jumpa dan sambut birthday mak, tak sangka mak dah tak ada.

"Malah, adik, kakak dan abang yang menjaga mak di rumah pun tidak menyangka mak akan pergi sekelip mata.

"Mak pergi dengan tenang tanpa beri sebarang tanda. Sebelum pergi, mak sempat minta air dekat kakak untuk kali terakhir.

"Selepas kakak bagi air, mak suruh letak atas meja nanti dia minum, kakak naik ke atas tengok anak-anak.

"Tak sampai 15 minit kakak turun dan nampak mak seolah-olah sedang tidur. Kakak cuba kejutkan mak bangun untuk minum, mak tak bergerak," kongsinya.

Penyanyi lagu Luluh itu berkata, dia hilang kata-kata sebaik mendapat berita sedih itu.

"Ketika adik telefon, saya baru hendak makan dan bila dapat tahu mak sudah tiada, rasa seperti dunia gelap gelita. Rasa seperti bermimpi dan kawan-kawan cuba menenangkan saya.

"Malah mereka turut membantu mencari jalan untuk pulang ke Perlis. Alhamdulillah, Allah permudahkan semua, dalam perjalanan naik bot cuaca cantik sangat, bulan bintang terang, langit cerah.

"Hati rasa sayu seolah-olah mak sedang tunggu saya di rumah. Doakan kami semua kuat untuk hadapi dugaan ini, minta jasa baik kalian semua untuk sedekahkan, Al-Fatihah buat mak saya, Rosnah Binti Mohd," tulisnya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka, Kangar, jam 12.15 tengah malam, semalam.

Berita Harian X