Jumaat, 5 Januari 2024 | 8:31am
Apa yang dilakukan Alif bukan omong kosong apabila Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, yang menjadi lokasi pertama kempen menarik kunjungan 3,000 jemaah, baru-baru ini. - Foto IG Alif Satar
Apa yang dilakukan Alif bukan omong kosong apabila Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, yang menjadi lokasi pertama kempen menarik kunjungan 3,000 jemaah, baru-baru ini. - Foto IG Alif Satar

Idea kecil jadi tular

KUALA LUMPUR: Segala-galanya bermula atas dasar solidariti terhadap rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis sejak Oktober lalu.

Bertitik tolak dari situ, timbul kesedaran dalam diri artis serba boleh, Alif Satar untuk mewujudkan gerakan dinamakan #GengSubuhMacamJumaat yang antara lain mengajak umat Islam menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid, sama seperti solat Jumaat yang didirikan saban minggu di rumah Allah itu.

Tidak disangka, kempen dicetuskan Alif sekelip mata tular dan diperkatakan ramai.

Alif atau nama penuh, Muhammad Alif Mohd Satar, 34, berkata, idea menggerakkan kempen itu tercetus selepas mendengar penjelasan seorang ustaz mengenai cara umat Islam membantu rakyat Palestin, ketika mengikuti kelas agama.

Akui pelakon yang kini muncul dengan filem Anak Perjanjian Syaitan 2 ini, penjelasan spontan ustaz terbabit menjentik tangkai hati untuk merubah rutin hidup hingga membawa kepada terlaksananya kempen itu.

"Alif ada terdengar soalan dikemukakan salah seorang yang hadir kelas agama itu mengenai bagaimana umat Islam mahu melawan kekejaman tentera Israel.

"Ustaz itu menjawab, sebelum kita semua pergi berjuang bermati-matian di sana (Palestin), adalah lebih baik jika kita terlebih dahulu berjihad melawan perasaan mengantuk dengan menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid.

"Jika perasaan mengantuk pun kita tidak mampu hendak lawan, macam mana kita hendak lawan mereka (tentera Israel)?" katanya kepada BH Online.

Alif mengaku penjelasan ustaz terbabit secara tidak langsung memberi ruang kesedaran kepada dirinya untuk mengubah rutin hidup.

"Jika sebelum ini Alif ajak semua peminat bangun pagi untuk berjoging dan solat Subuh, kali ini, Alif tukar rutin itu dengan mengajak mereka solat Subuh bermain-ramai.

"Tidak sangka projek dilaksanakan dalam skala kecil pada mulanya, mendapat perhatian dan menjadi ikutan ramai," katanya.

Tambah Alif yang popular dengan lagu Anugerah Terindah ini, lebih membuatkan dia terharu adalah usaha kecilnya itu melangkau sempadan hingga negara jiran.

"Bukan sahaja di Malaysia, malah ada peminat di Singapura, Brunei dan Indonesia melaksanakan rutin sama. Saya tahu mengenai perkara ini selepas melihat perkongsian dimuat naik dalam media sosial mereka.

"Lebih membuatkan Alif terharu adalah apabila ada ahli jawatankuasa masjid tempat Alif beribadat turut menyokong gerakan ini.

"Mereka tidak pernah menghakimi anak muda yang datang, walaupun mereka hanya mengenakan seluar denim dan kemeja T.

"Landskap mereka yang datang masjid sekarang sudah berubah. Kalau dahulu yang datang masjid kebanyakannya orang tua yang sudah pencen, kali ini, suasana berbeza apabila ramai anak muda mula memenuhi masjid, terutama pada waktu solat Subuh," kata bekas pengacara Muzik-Muzik ini.

Alif mewujudkan gerakan #GengSubuhMacamJumaat untuk mengajak umat Islam menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid. - Foto IG Alif Satar
Alif mewujudkan gerakan #GengSubuhMacamJumaat untuk mengajak umat Islam menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid. - Foto IG Alif Satar

Terbukti apa yang dilakukan Alif bukan omong kosong apabila Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, yang menjadi lokasi pertama kempen itu dilaksanakan, menarik kunjungan kira-kira 3,000 jemaah, Isnin lalu, iaitu pada hari pertama 2024.

"Pada sambutan awal tahun baharu tempoh hari, saya sangka hanya 1,000 jemaah sahaja yang hadir, sebaliknya, yang datang kira-kira 3,000 jemaah.

"Masjid jadi sesak apabila jemaah beramai-ramai membanjiri kawasan sejak jam 5.30 pagi," katanya.

Alif sedar mungkin ada pihak skeptikal dan menjangka kempen solat Subuh berjemaah di masjid tidak mampu bertahan lama dan hanya terjadi jika Alif turut sama melakukannya.

"Sebaliknya, Alif tidak fikir tanggapan itu tepat. Alif percaya mereka yang datang ada niat sama, iaitu mahu mengimarahkan masjid.

"Rutin itu akan diteruskan di lokasi masjid atau surau berhampiran kawasan kediaman masing-masing," katanya.

Setakat ini, kira-kira 12,000 ahli menyertai gerakan dicetuskan Alif di Telegram. Selepas solat Subuh, majlis ilmu dan aktiviti riadah dianjurkan bersama jemaah.

Berita Harian X