Khamis, 4 Januari 2024 | 9:29pm
Kontroversi tercetus apabila Nadeera diumumkan menjadi pengganti Ernie untuk lagu Astana di pentas SFMM 38. - NSTP/Farihad Shalla Mahmud
Kontroversi tercetus apabila Nadeera diumumkan menjadi pengganti Ernie untuk lagu Astana di pentas SFMM 38. - NSTP/Farihad Shalla Mahmud

Sudah-sudahlah lagakan Ernie, Nadeera

PUTRAJAYA: Penyanyi Ernie Zakri dan Nadeera Zaini sepakat mahu tutup buku berhubung dakwaan bermasam muka susulan isu penyanyi gantian di Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) 38, bulan lalu.

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, berkata dia enggan mencari masalah dengan mana-mana pihak terutama rakan-rakan industri.

"Kami tak ada masalah apa-apa. Malah, kami juga sudah berbincang mengenainya. Semua yang berlaku itu berpunca daripada salah faham.

"Industri kita kecil sahaja dan tak perlu ada pergaduhan dengan sesiapa, Cuba kalau gaduh, mesti mesti kekok bila berjumpa.

"Saya memahami situasi Nadeera dan begitu juga sebaliknya," katanya kepada BH Online.

Ernie dan Nadeera ditemui pada majlis sidang media Konsert Voice of the Heart di IOI Conezion, di sini, hari ini.

Ernie enggan mencari masalah dengan mana-mana pihak terutama rakan-rakan industri. - Foto IG Ernie Zakri
Ernie enggan mencari masalah dengan mana-mana pihak terutama rakan-rakan industri. - Foto IG Ernie Zakri

Kontroversi tercetus apabila Nadeera diumumkan menjadi pengganti Ernie untuk lagu Astana di pentas SFMM 38.

Susulan itu, Ernie tampil membuat kenyataan keputusan mencari penyanyi gantian dibuat tanpa pengetahuannya.

Bagaimanapun, isu itu akhirnya selesai selepas Ernie mengumumkan akan menyanyikan sendiri lagu ciptaannya itu.

Sementara itu, Nadeera atau nama sebenarnya, Farah Nadeera Zaini, 31, Nadeera meminta semua pihak berhenti terus menjadi batu api dengan membuat cerita bukan-bukan mengenai hubungannya dengan Ernie.

Nadeera berkata, dia terbuka hati menerima setiap komen diberikan termasuk membandingkan mereka.

"Sudah-sudahlah lagakan kami. Tiada isu besar pun. Semuanya sudah selesai.

"Saya tak salahkan peminat kerana mereka tidak tahu cerita sebenar. Tapi saya terima segala komen mereka dengan hati terbuka," ungkapnya.

Berita Harian X