Selasa, 2 Januari 2024 | 3:00pm
Barisan pelakon dan tenaga kreatif filem Sayu Yang Syukur pada sidang media sempena tayangan naskhah berkenaan di Petaling Jaya, baru-baru ini. Foto NSTP Aziah Azmee
Barisan pelakon dan tenaga kreatif filem Sayu Yang Syukur pada sidang media sempena tayangan naskhah berkenaan di Petaling Jaya, baru-baru ini. Foto NSTP Aziah Azmee

Masuk panggung setelah 'terperam' 8 tahun

PETALING JAYA: Andai mengikut perancangan asal, filem Sayu Yang Syukur arahan Datuk Aaron Aziz mahu ditayangkan pada 2016. Namun, dek beberapa kekangan, selain enggan produk bagai melepaskan batok di tangga, filem bergenre drama romantik ini akhirnya memasuki pawagam, sejak 28 Disember lalu.

Memberi penjelasan mengapa tayangan filem terbitan Nusanbakti Production ini tertangguh lapan tahun, Aaron berkata, selain proses pasca produksi yang mengambil masa lama, pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menjadi faktor .

"Filem ini selesai menjalani penggambaran pada 2016 dan kita ambil masa agak lama untuk proses suntingan.

"Kami terpaksa buat suntingan banyak kali kerana filem ini dirasakan terlalu panjang dan saya tak mahu naskhah ini meleret-leret.

"Apabila kerja suntingan selesai dan sedia untuk ditayangkan, PKP dilaksanakan berikutan penularan virus COVID-19.

"Apabila keadaan kembali okay, kami dapati ada banyak genre filem lebih kurang sama. Jadi, kami putuskan untuk tangguh dahulu tayangan kerana tidak mahu kacau pasaran.

"Saya bersyukur filem ini akhirnya dapat ditayangkan tahun ini," katanya.

Berkongsi lanjut pembikinan filem kedua arahannya itu, Aaron berkata, pada mulanya dia hanya ditawar sebagai pelakon sebelum diberi tanggungjawab duduk di kerusi sutradara.

"Apabila mereka tawarkan jadi pengarah, saya tidak terus setuju. Sebaliknya, saya lihat dahulu skrip.

"Sebelum terima tawaran, saya letak syarat iaitu mahu membuat olahan dari segi skrip dan perwatakan. Mereka (penerbit) terima syarat itu.

"Selain itu, saya buat banyak permintaan sampingan seperti sediakan haiwan seperti rusa sebagai 'props' dan bina pondok atas bukit.

"Walaupun genre karya ini drama romantik, saya tidak mahu ia menjadi terlalu tipikal.

Aaron mengaku tertekan dan tidak cukup tidur sepanjang pembikinan filem Sayu Yang Syukur arahannya. Foto NSTP Aziah Azmee
Aaron mengaku tertekan dan tidak cukup tidur sepanjang pembikinan filem Sayu Yang Syukur arahannya. Foto NSTP Aziah Azmee

"Hanya 10 peratus filem ini memaparkan kisah cinta yang manis. Bakinya, lebih banyak membabitkan emosi," katanya pada sidang media tayangan filem Sayu Yang Syukur yang diadakan di Damansara Utama di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir barisan pelakon seperti Nora Danish, Arja Lee, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Kismah Johar dan Raja Ema.

Filem Sayu Yang Syukur mengisahkan Liana lakonan Nora yang terbabit dalam kemalangan ketika pulang ke kampung dan ditemui Qudaim lakonan Aaron.

Pertemuan itu menjadi permulaan baharu buat Liana apabila maruahnya tercalar lantas mencetuskan kebimbangan andai nama baik keluarga terjejas.

Mengulas cabaran yang dihadapi dalam pembikinan filem Sayu Yang Syukur, pemenang trofi kategori Couple Filem Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 ini mengaku ia menuntut komitmen tinggi. Masakan tidak, Aaron menggalas dua amanah yang amat berat.

"Sepanjang 60 hari penggambaran, saya berada dalam keadaan tertekan, tidak cukup tidur dan langsung tidak dapat jumpa anak-anak.

"Watak Qudaim yang saya bawa sangat berat kerana jadi orang gila.

"Kalau ikutkan skrip asal, watak saya bukan begitu. Tetapi, demi mencari kelainan, saya ubah perwatakan Qudaim meskipun sedar ia menambah beban serta tekanan." kata aktor kelahiran Singapura ini.

Berita Harian X