Selasa, 2 Januari 2024 | 1:00pm
Nizam menjelaskan di saluran YouTube Monsta Channel, BoBoiBoy SORI ditonton 75 juta kali di Asia Tenggara. Foto Ihsan Monsta
Nizam menjelaskan di saluran YouTube Monsta Channel, BoBoiBoy SORI ditonton 75 juta kali di Asia Tenggara. Foto Ihsan Monsta

Gen-B tunjuk sokongan

KUALA LUMPUR: Siri animasi popular terbitan Animonsta Studios (MONSTA), BoBoiBoy Galaksi SORI mencatat sejarah apabila mengungguli carta Top Show di platform penstriman, Netflix sepanjang bulan lalu, sejak ditayangkan 3 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Monsta, Nizam Abd Razak, berkata kejayaan berkenaan membuktikan siri animasi yang mula diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu itu terus mendapat tempat di hati peminat.

"Alhamdulillah, sambutan BoBoiBoy dengan 'arc' baharu, BoBoiBoy SORI di luar jangkaan kami. Selepas lima tahun tanpa siri animasi, nampaknya peminat masih setia menunggu. Ramai yang mengatakan mereka memang membesar dengan BoBoiBoy.

"Di platform Netflix, BoBoiBoy masih mengungguli tempat pertama Top Show sepanjang Disember. Bukan setakat di Malaysia, malah BoBoiBoy mendapat Top 5 Show di Indonesia dan tersenarai dalam Top 10 Kids Show di Singapura.

BoBoiBoy Galaksi SORI mencatat sejarah apabila mengungguli carta Top Show di platform penstriman, Netflix sepanjang bulan lalu. Foto Ihsan Monsta
BoBoiBoy Galaksi SORI mencatat sejarah apabila mengungguli carta Top Show di platform penstriman, Netflix sepanjang bulan lalu. Foto Ihsan Monsta

"Di saluran YouTube Monsta Channel pula, BoBoiBoy SORI ditonton 75 juta kali di Asia Tenggara," katanya kepada BH Online.

Nizam berharap kehangatan Boboiboy berterusan menjelang tayangan siri pengembaraan baharu yang akan menemui peminat pada pertengahan 2024.

"Saya harap peminat Boboiboy yang kami gelarkan sebagai Gen-B (Generasi BoBoiBoy) akan terus menanti 'arc' seterusnya iaitu BoBoiBoy Windara yang dijangka menemui peminat pada pertengahan tahun ini," katanya.

Terdahulu, BoBoiBoy Galaksi SORI mencipta kejayaan apabila meraih 3.5 juta tontonan dalam tempoh 24 jam sejak ditayangkan menerusi saluran YouTube Monsta pada 3 Disember lalu.

Tayangan BoBoiBoy Galaksi dibahagikan empat siri pendek iaitu BoBoiBoy Galaksi SORI, BoBoiBoy Galaksi Windara, BoBoiBoy Galaksi GenBara dan BoBoiBoy Galaksi Gur'latan.

Setiap siri mengandungi enam episod baharu dengan tema berbeza, berlatarbelakangkan penceritaan dan pengembaraan diolah semula daripada siri komik BoBoiBoy Galaksi musim kedua keluaran Monsta.

Pengembaraan baharu BoBoiBoy SORI berkisar gabungan elemen antara BoBoiBoy Solar dan BoBoiBoy Duri.

BoBoiBoy dan rakannya berpindah ke pangkalan Tracker And Protector Of Power Spheres (TAPOPS) bagi mengekalkan keamanan galaksi. Mereka perlu menghalang Sfera Kuasa jatuh ke tangan salah.

Demi menjayakan misi, BoBoiBoy perlu mempelajari kekuatan elemen tahap ketiga di Planet Rimbara yang juga bekas jajahan King Balakung, iaitu pemilik asal Kuasa Elemental Balak.

BoBoiBoy Galaxy SORI kini ditayangkan di Monsta YouTube dan Netflix setiap Ahad jam 7.30 malam serta di saluran TV9 bermula 13 Disember lalu pada jam 6.30 petang.

Berita Harian X