Selasa, 2 Januari 2024 | 11:00am
Zara menyifatkan single Cinta Agung dihasilkan atas persahabatan dengan Alha sejak 2014 dan hadiah kepada peminat. Foto NSTP Sadiq Sani
Zara menyifatkan single Cinta Agung dihasilkan atas persahabatan dengan Alha sejak 2014 dan hadiah kepada peminat. Foto NSTP Sadiq Sani

Cinta Agung hadiah persahabatan Zara, Alha

KUALA LUMPUR: Biarpun pernah tampil dengan single Tiada Dendam kira-kira lapan tahun lalu, Zara Zya tidak pernah berhasrat mengembangkan bakat nyanyian secara serius biarpun tampil dengan single duet bersama usahawan kosmetik, Datuk Seri Alha Alfa.

Zara atau nama sebenar, Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, single duet hasil ciptaan Yuka Kharisma berjudul Cinta Agung bukan dihasilkan untuknya bersaing dengan penyanyi sedia ada.

"Saya tidak berani di atas pentas, boleh tengok saya menggigil hendak menyanyi tadi (pada majlis pelancaran single).

"Ini pun mujur berdua, kalau seorang memang tidak akan jadi. Lagu ini bukan menandakan saya mahu menjadi penyanyi, tetapi, apa yang saya boleh cakap sebagai hadiah.

"Bukanlah saya mahu naik pentas, buat 'show' sana sini, nak masuk Anugerah Juara Lagu (AJL) dan berlawan sana sini, itu bukan saya. 'Forte' saya masih lagi lakonan," katanya pada sidang media mempromosikan single Cinta Agung di sebuah pusat beli-belah di sini, Khamis lalu.

Zara berkata, single Cinta Agung dihasilkan atas persahabatan dengan Alha sejak 2014 dan hadiah kepada peminat.

"Dahulu, ketika banyak masa lapang, kami selalu pergi karaoke. Mungkin ini hadiah daripada Alha atas persahabatan kami dan kami boleh kongsi dengan peminat.

"Lagu ini tidak memerlukan kemahiran vokal yang besar seperti penyanyi profesional. Jadi, ini adalah hadiah atas persahabatan kami dan ditujukan kepada peminat. Sebelum ini, peminat pernah bertanya, bila saya mahu rakam single baharu selepas Tiada Dendam.

"Sejujurnya saya terharu apabila Alha ajak berduet dengannya. Saya harap penerimaan positif terhadap lagu ini.

Zara optimis single duet Cinta Agung yang dirakam bersama Alha disambut positif peminat. Foto NSTP Sadiq Sani
Zara optimis single duet Cinta Agung yang dirakam bersama Alha disambut positif peminat. Foto NSTP Sadiq Sani

Berkongsi lanjut, Zara tidak menafikan kesukaran merakamkan vokalnya. Bagaimanapun, selepas diberi semangat oleh sahabat dan keluarga, Zara optimis Cinta Agung boleh menerima maklum balas positif.

"Susah setiap kali saya nak keluarkan vokal sebab bagi pesanan suara pada kawan pun bila dengar balik, kita rasa pelik. Apatah lagi hendak bagi orang dengar.

"Tetapi apabila Alha kata okay dan keluarga cakap boleh 'jual' lagu ini, saya beranikan diri.

"Sebenarnya, saya ada lagu hasil ciptaan Wan Ahmad yang sudah siap rakamannya, namun masih menunggu untuk dilancarkan. Tengok-tengok lagu ini dilancar dahulu," katanya.

Berita Harian X