Selasa, 2 Januari 2024 | 10:06am
Awal memaklumkan dia dan keluarga yang ketika ini berada di Jepun, dalam keadaan baik susulan gempa bumi, semalam. Foto IG Awal Ashaari
Awal memaklumkan dia dan keluarga yang ketika ini berada di Jepun, dalam keadaan baik susulan gempa bumi, semalam. Foto IG Awal Ashaari

Gempa bumi di Jepun, Awal Ashaari dan keluarga baik-baik sahaja

KUALA LUMPUR: Pengacara popular, Awal Ashaari yang sedang bercuti di Jepun mengesahkan dia dan keluarga dalam keadaan baik susulan gempa bumi yang melanda negara matahari terbit itu, semalam.

Bekas pengacara program Melodi itu memberitahu, kawasan didiami iaitu di tengah Tokyo tidak terkesan oleh bencana alam itu.

Ketika kejadian, Awal, isteri, Scha Alyahya dan dua anak mereka iaitu Lara Alana dan Lyla Aminaa berada dalam koc kereta api bawah tanah.

"Sesetengah kawasan di Jepun dilanda gempa bumi. Kami sekeluarga berada dalam Metro (kereta api) ketika kejadian. Tidak rasa apa-apa pun.

"Tetapi kami nampak berita dan beberapa video kejadian yang agak teruk. Tetapi, ada rakan kami yang berada di Tokyo rasa gegaran di bilik hotel mereka.

Awal, Scha dan anak-anak tiba di Tokyo, Sabtu lalu, untuk bercuti. Foto IG Awal Ashaari
Awal, Scha dan anak-anak tiba di Tokyo, Sabtu lalu, untuk bercuti. Foto IG Awal Ashaari

"Alhamdulillah, kami sekeluarga okay. Terima kasih kepada semua yang bertanya khabar untuk memastikan kami selamat," katanya melalui hantaran di Instagram (IG).

Tambah Awal, aktiviti di Tokyo seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"Harapan saya kita semua dipelihara dan semoga Allah lindungi kami dan semua yang berada di bumi mata hari terbit ini... Insya-Allah," katanya yang tiba di Jepun, Sabtu lalu.

Berita Harian X