Isnin, 1 Januari 2024 | 3:01pm
Jenama Siti terus mendapat pengiktirafan apabila dikurniakan anugerah The Golden Voice Of The East dalam majlis The Knight Awards yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini. - Foto IG Siti Nurhaliza
Jenama Siti terus mendapat pengiktirafan apabila dikurniakan anugerah The Golden Voice Of The East dalam majlis The Knight Awards yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini. - Foto IG Siti Nurhaliza

Kukuh jenama, portfolio cemerlang di pentas muzik

KUALA LUMPUR: Selain bahang kontroversi dan pelbagai episod menggemparkan industri hiburan, 2023 meninggalkan pelbagai catatan manis buat penggiat seni muzik yang tidak pernah jemu menghasilkan karya berkualiti untuk melengkapkan kecemerlangan portfolio.

BH menyorot kembali detik kejayaan insan seni yang menyinar sepanjang 2023, malah mampu mengukir senyuman bangga dengan pelbagai pencapaian dilakar.

Terus mengukuhkan reputasi sepanjang hampir tiga dekad dalam belantara seni adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Antara kejayaan manis dilakar penyanyi bervokal ampuh ini adalah menghasilkan beberapa siri konsert, termasuk bersama maestro muzik antarabangsa, AR Rahman, meskipun berdepan dengan masalah vokal yang kronik.

"Saya bersyukur perjalanan seni 2023 berjalan dengan baik kerana saya mendapat peluang dan pengalaman baharu seperti menjayakan persembahan dengan AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Selain itu, saya turut diundang membuat persembahan dalam Konsert David Foster dan menjayakan Konsert Satu Suara Vol 3 bersama Ernie Zakry dan Jay Jay.

"Meskipun kondisi kesihatan suara bermasalah, namun saya masih dapat menjayakan persembahan Queen Of The Night di Royale Chulan dan juga A Night To Remember di Persada Johor.

"Saya akui agak risau dan tertekan dengan masalah peti suara, tetapi saya tetap menjayakan persembahan demi peminat tersayang," ungkap penyanyi Jerat Percintaan ini.

Dolla menyifatkan 2023 adalah tahun paling indah apabila beberapa kejayaan diraih termasuk pembikinan album pertama, New Classic dilancarkan. - Foto IG Dolla
Dolla menyifatkan 2023 adalah tahun paling indah apabila beberapa kejayaan diraih termasuk pembikinan album pertama, New Classic dilancarkan. - Foto IG Dolla

Jenama Siti dalam bidang seni terus mendapat pengiktirafan apabila dikurniakan anugerah The Golden Voice Of The East dalam majlis The Knight Awards yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

"2023 tetap ada cabaran tersendiri, tetapi saya dapat melaluinya dengan baik.

"Hal-hal indah yang berlaku dalam kerjaya saya juga menjadi pemangkin untuk saya terus merancang dan bekerja keras.

"Kemenangan bukan sebab saya seorang, tetapi dengan izin Allah dan sokongan orang sekeliling," katanya yang bakal muncul dalam Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena Bukit Jalil pada 9 Mac depan.

Turut menyerlah tahun lalu adalah kumpulan Dolla yang muncul dengan album pertama, New Classic.

Menerusi beberapa kejayaan diraih termasuk pembikinan album yang baru dilancarkan itu, Dolla menyifatkan 2023 adalah tahun paling indah.

"Berbanding 2022 yang disifatkan agak perlahan buat perjalanan karier seni kerana industri muzik sedang berdepan dengan pasca COVID-19.

"Justeru, 2023 adalah tahun yang penuh dengan kegembiraan dan keraian buat Dolla.

"Pencapaian paling cemerlang tahun ini sudah tentu dengan kelahiran album pertama yang baru sahaja dilancarkan," ujar Dolla.

Lebih bermakna, single Classic berjaya merah 1.5 juta jumlah tontonan sejak ditayangkan di YouTube pada 17 November lalu.

Enggan menoleh ke belakang, kumpulan dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya ini mahu terus terbang tinggi dan melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa.

"Dengan adanya album ini, kami harap impian mengadakan konsert akan menjadi kenyataan, tahun ini.

"Bila ada konsert, pastinya akan ada 'merchandise' daripada kami. Harap iDolla dapat beri sokongan.

"Selain itu, kami juga berharap akan dapat mengembangkan kerjaya nyanyian hingga peringkat Asia Tenggara serta negara luar lain," kata pemegang trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 ini.

Khai diberi peluang beraksi di Dewan Filharmonik Petronas dan pengalaman paling berharga buatnya. - Foto IG Khai Bahar
Khai diberi peluang beraksi di Dewan Filharmonik Petronas dan pengalaman paling berharga buatnya. - Foto IG Khai Bahar

Kemanisan turut dikecapi penyanyi Khai Bahar apabila berkongsi keterujaan mengenai pencapaian cemerlang untuk 2023.

"Alhamdulillah, saya dapat peluang beraksi di Dewan Filharmonik Petronas untuk konsert solo pada 11 November lalu. Konsert ini memberi pengalaman paling berharga dan amat manis buat saya.

"Syukur rezeki dimurahkan apabila saya dilantik menjadi duta produk minuman kesihatan, selain tiga lagu berjaya ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM 38) dan lagu Selagi Ku Ada berjaya mara ke pentas AJL 38," katanya dalam nada teruja.

Mengakui 2023 memberi cabaran tersendiri, bagaimanapun Khai bangga apabila berani mencuba bidang baharu di luar zon selesanya, iaitu berniaga.

"2023 adalah tahun yang baik buat saya meskipun berdepan cabaran keadaan kesihatan mak dan ayah yang kurang baik di Perlis.

"Selain itu, saya juga melancarkan jenama tudung sendiri dan disusuli minyak wangi, tidak lama lagi," kata penyanyi kacak itu.

Berita Harian X