Isnin, 1 Januari 2024 | 1:14pm
Umie mengharapkan dirinya terus istiqamah untuk menganjurkan lebih banyak majlis ilmu bagi memudahkan ramai memahami dan melengkapkan diri dengan ilmu agama. - Foto IG Umie Aida
Umie mengharapkan dirinya terus istiqamah untuk menganjurkan lebih banyak majlis ilmu bagi memudahkan ramai memahami dan melengkapkan diri dengan ilmu agama. - Foto IG Umie Aida

Umie lebih fokus penganjuran majlis ilmu

KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Seri Umie Aida, 50, kini lebih fokus pada penganjuran majlis ilmu di bawah pertubuhan kendaliannya, Musollah Aisya.

Kongsi Umie, dia mula merasakan kemanisan di sebalik mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri dengan Allah, bagaimanapun masih mengisi masa lapang dengan lakonan.

"Alhamdulillah, saya makin seronok dengan rezeki Allah berikan untuk menganjurkan majlis ilmu. Musollah Aisya berusia tiga tahun yang saya usahakan selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Menerusi Musollah Aisya, saya banyak menganjurkan majlis ilmu yang terbuka kepada orang ramai, tapi ia lebih fokus kepada muslimat.

"Musollah Aisya adakan majlis ringkas, tidak berat dan ilmu asas dipelajari.

"Dalam masa mengusahakan ini, saya tetap perlahan-lahan kembali berlakon. Saya akan tampil menerusi tiga drama iaitu Mak Cun, Terlanjur Cinta dan Lelaki Melayu Terakhir," katanya kepada BH Online.

Umie kini berada di Sabah menganjurkan majlis ilmu dengan kerjasama usahawan kosmetik, Datuk Seri Alha Alfa serta barisan selebriti seperti Neelofa dan Zizi Kirana bersyukur apa yang diusahakan disambut baik oleh ramai selebriti.

Umie mula merasakan kemanisan mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri dengan Allah selepas menubuhkan Musollah Aisya. - Foto IG Umie Aida
Umie mula merasakan kemanisan mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri dengan Allah selepas menubuhkan Musollah Aisya. - Foto IG Umie Aida

Umie berkata, dia juga bersyukur ditempatkan dalam kalangan kelompok yang sentiasa mahu belajar dan menambah ilmu.

"Alhamdulillah, ada 500 orang akan hadir dalam majlis ilmu. Saya bukan orang yang pandai dan baru belajar, jadi kita sama-sama belajar perbaiki diri. Tak tahu mengaji, tidak mengapa, mari kita bersama belajar.

"Majlis ilmu kitab diadakan seminggu sekali, lebih kepada belajar sirah mengenai Rasulullah SAW, tapi bila ada ulama datang, saya buatlah majlis ilmu seperti di Sabah ini," katanya.

Justeru, Umie mengharapkan dirinya terus istiqamah untuk menganjurkan lebih banyak majlis ilmu bagi memudahkan ramai memahami dan melengkapkan diri dengan ilmu agama.

"Alhamdulillah, istiqamah bukan kerja senang terutamanya dalam industri ini. Bila tahu kelemahan diri, kita akan lebih mendekatkan diri dengan mereka yang sering menghadiri majlis ilmu.

"Kalau hanya berlandaskan industri sahaja, kita akan goyang, sama seperti saya, mudah goyang. Saya bukan kuat, bila diuji, akan cepat terjatuh.

"Antara satu istiqamah yang kita boleh buat adalah memaksa diri.

"Paksa diri ke arah kebaikan dan bergaul dengan mereka yang baik. Jadi bila pergi majlis ilmu, apa yang kita tak tahu, kita belajar jadi tahu.

"Bukanlah saya cakap kita kena 100 peratus kena betul, tapi bila tahu ada kelemahan, kita seimbangkan ke arah lebih baik. Alhamdulillah, apa yang saya lakukan juga dapat sokongan ramai artis," katanya.

Berita Harian X