Ahad, 31 Disember 2023 | 8:30am
Ada netizen menganggap kerjaya Baby Shima sudah sendu hingga terdesak menghasilkan kandungan kurang cerdik. - Foto IG Baby Shima
Ada netizen menganggap kerjaya Baby Shima sudah sendu hingga terdesak menghasilkan kandungan kurang cerdik. - Foto IG Baby Shima

Baby Shima 'lapar' perhatian hasil parodi menyiang ikan?

KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut, Baby Shima diselar netizen gara-gara melakukan video parodi menyiang ikan yang dimuat naik ke akaun media sosialnya, baru-baru ini

Gara-gara video seperti menyindir seorang hos program televisyen yang tular di aplikasi X kerana tidak pandai menyiang ikan, Baby Shima dituduh lapar perhatian dan menumpang kontroversi orang lain.

@babyshimaofficial cara siang ikan yang sebenar.. #babyshima #fyp #siangikan ♬ original sound - Neng BabyShima

Sehingga ada yang mengatakan kerjaya pelantun lagu Pura-Pura Bujang itu sudah sendu hingga terdesak menghasilkan kandungan bodoh.

"Content yang menunjukkan kebodohan diri sendiri. Kalau sendu, cuba buat sesuatu yang cerdik tau. Bukan content cmnie," komen seorang pengguna di laman sosial.

Menjelaskan tindakannya itu, penyanyi berusia 31 tahun berkata, apa yang dilakukan hanyalah sekadar hiburan semata-mata.

Namun, katanya, ramai meninggalkan komen positif kerana tahu apa yang dilakukan sekadar gurauan.

"Kalau cakap pasal parodi, saya rasa ramai sahaja yang buat bukan saya seorang sahaja.

"Tapi, biasalah apa sahaja yang saya buat pasti akan menjadi bualan.

"Sebelum video siang ikan, sudah banyak video yang saya hasilkan tetapi tak pula diperkatakan atau menjadi perhatian media.

"Tapi, saya sudah terbiasa dengan kecaman dan ia langsung tak menghalang saya daripada terus hasilkan kandungan," katanya kepada BH Online.

Gara-gara video seperti menyindir seorang hos program televisyen yang tular di aplikasi X kerana tidak pandai menyiang ikan, Baby Shima dituduh lapar perhatian dan menumpang kontroversi orang lain. - Foto IG Baby Shima
Gara-gara video seperti menyindir seorang hos program televisyen yang tular di aplikasi X kerana tidak pandai menyiang ikan, Baby Shima dituduh lapar perhatian dan menumpang kontroversi orang lain. - Foto IG Baby Shima

Shima berkata, selain penyanyi, dia juga seorang pencipta kandungan dan akan menghasilkan apa sahaja kandungan terutama perkara yang tular pada ketika itu.

Lagipun, katanya, dia bukan pencipta kandungan bermusim, sebaliknya sudah lama melakukannya bermula daripada YouTube lagi.

Mengulas dakwaan sendu, Shima berkata, dia tidak faham kenapa dikatakan sendu hanya kerana menghasilkan content yang sedang viral.

Kata Shima, dia menghasilkan video bukan untuk memastikan dirinya terus kekal relevan.

Justeru, katanya, dia tidak faham apabila dikatakan sendu.

"Saya sentiasa buat kandungan, jadi di mana dikatakan kerjaya saya sendu?

"Setakat ini, kerjaya nyanyian masih berjalan seperti biasa sama ada di Malaysia atau Indonesia," katanya.

Berita Harian X